Mentor 6 - Faizal Tahir Tak Galakkan Anas Berlakon
Pada awalnya, pasangan Mentor dan Protégé ini dilihat sebagai pencabar paling utama untuk bergelar juara Mentor 6. Namun begitu, kemampuan Anas dan Faizal Tahir untuk menguasai pentas akhir Mentor 6 dinafikan 4 lagi kuasa wanita yang lain. Sekadar mendapat tempat ketiga, Anas membawa pulang wang tunai RM 10,000.
GUA menemui Faizal Tahir dan Anas sewaktu sidang media sejurus selepas berakhirnya konsert akhir Mentor 6 malam tadi. Bertanyakan perasaan Anas apabila tewas di pentas akhir, Anas berkongsi isi hatinya bersama-sama GUA.
“ Saya tak frust langsung. Cuma saya sendiri tak puas hati dengan persembahan saya memandangkan keadaan saya yang ‘daif’ ini. Maksud Anas, keadaan kesihatan Anas yang kurang baik. Nak tak nak, Anas kena lakukan semua ini. Kalaupun Anas dapat MC, konsert akhir pun takkan ditunda. The show must go on “, ujar Anas dalam nada yang cukup tenang.
Faizal Tahir ketika ditemui berpendapat masa yang diberikan pihak produksi untuk membuat persiapan mungkin boleh dipanjangkan untuk musim akan datang.
“ Saya baik-baik sahaja. Anas pun faham kesibukan yang melanda diri saya. Saya merasakan masa yang diberi untuk membuat persiapan agak kurang. 2 minggu bagi saya would be nice untuk mentor dan protégé membuat persiapan secukupnya “.
“ Saya sangat berbangga dengan Anas. Saya tak tahu sama ada saya mempunyai mental yang kuat untuk hadapi segala tekanan yang ada. Bagi saya, the biggest lesson yang Anas pelajari ialah kesihatan merupakan perkara nombor 1 yang perlu diberi perhatian “, ujar Faizal.
“ Perjalanan karier seni Anas masih panjang. Saya boleh ibaratkan fasa karier Anas ini seperti fasa seorang bayi bertatih dalam kitaran kehidupan manusia. Banyak yang dia perlu pelajari dan saya sendiri tak pernah berhenti belajar. Saya juga belajar banyak benda sepanjang saya berada bersama Anas “.
Mengagumi semangat anak didiknya itu berlawan dengan sakit yang beliau alami, Faizal menyifatkan Anas sebagai seorang yang kental dan kuat semangat. Walaupun berdepan kesakitan dek demam yang berpanjangan, Anas tetap bertahan demi memberikan persembahan yang cukup baik.
“ Semua orang boleh nampak semangat Anas di pentas tadi. Kalau ikutkan suara, selepas Anas nyanyikan lagu kedua tadi suara dia dah makin terjejas tapi Anas tetap teruskan perjuangan beliau “.
Memandangkan Anas merupakan graduan seni teater Universiti Teknologi MARA, (UiTM) Gua bertanyakan pendapat Faizal Tahir mengenai pengembangan karier seni Anas.
“ Sebenarnya, saya tak galakkan Anas berlakon. Dia ada kerjaya yang cerah dalam dunia nyanyian. Tapi, itu semua hak dia. Saya yakin Anas tahu apa yang dia nak dan terpulang pada Anas untuk tentukan perjalanan karier seni beliau “, akhiri bekas finalis One In A Million itu.


