Mentor 6 - Ogy Terus Bantu Zatul
Jika ada anugerah persembahan terbaik dalam konsert akhir Mentor 6 malam tadi, sudah pasti ianya menjadi milik mutlak pasangan mentor Fauziah Dato’ Ahmad Daud dan Zatul. Konsep teater muzikal yang diangkat mereka berdua seakan membawa kita mengimbau kegemilangan persembahan di pentas Anugerah Juara Lagu sebelum-sebelum ini. Walaupun tewas di tangan Caroline dan Ella, Zatul dan Ogy Ahmad Daud optimis dan berpuas hati dengan usaha yang telah mereka lakukan.
“ Zatul bukan sekadar nak menyanyi. Menerusi persembahan sebegini, Zatul dapat belajar penghayatan nyanyian yang berwatak. Bila nak sampaikan sesuatu lagu itu, kena ada elemen-elemen lain untuk lengkapkan sesebuah persembahan itu “, ujar gadis kelahiran Kedah ini.
“ Bagi Zatul erti kemenangan yang sebenar ialah menjadi protégé Kak Ogy sendiri. Saat Zatul dapat tahu Zatul terpilih jadi protégé Kak Ogy, Zatul rasa terharu sangat-sangat. Ketika itulah Zatul rasakan, Zatul sudah pun mendapat kemenangan tersendiri “.
“ Daripada awal-awal dahulu orang tak suka, orang kritik Zatul, sekarang mereka boleh terima Zatul. Zatul sangat berterima kasih kepada Kak Ogy. Segala ilmu termasuklah kaedah ‘ The Effective Technique of Teaching’ dapat bantu Zatul untuk dapatkan ilmu berkenaan persembahan dan sebagainya. Memang ini yang Zatul mahukan “.
GUA juga dikhabarkan Ogy akan terus membimbing Zatul walaupun selepas Mentor 6 berakhir. Bagi Ogy, bakat yang Zatul miliki tidak sewajarnya disia-siakan sebegitu sahaja dan beliau bersedia memberikan bimbingan dan didikan terhadap anak buahnya itu.
“ Selepas ini kita akan berbalik kepada perbincangan bersama TV3. Saya nak bantu Zatul jadi seorang insan seni yang penuh dengan ilmu, bermutu, serba boleh dan berkualiti. Alhamdulillah, Zatul sendiri sudah ada pengikut dan peminatnya yang tersendiri. Saya akan curahkan ilmu yang saya ada. Saya juga nak hantar Zatul untuk dapatkan kelas vokal bersama Cikgu Siti Hajar “.
GUA juga sempat bertanyakan Ogy apakah keistimewaan yang Zatul miliki sehinggakan beliau yakin untuk terus membimbing perjalanan karier seni gadis berusia 23 tahun itu.
“ Bagi saya, she’s a true fighter. Itu yang ada dalam diri kami berdua. Dia juga sebenarnya boleh nyanyi macam-macam lagu. Dari langgam, asli, Mandarin dan sebagainya, Zatul punyai kemampuan dan bakat besar untuk terus berjaya dalam dunia seni tanahair “, akhiri Ogy.
Zatul membawa pulang wang tunai RM 30,00 selepas menggamatkan seisi Stadium Malawati, Shah Alam menerusi medley Pawana dan Peleseit Kota juga duet penuh dramatik bersama Ziana Zain.


