Mentor 6 - Trending Di Twitter, Caroline Terus Unggul

4 Jun 2012, 01:25pm   |     |    Utama > BERITA ARTIS >
Kongsi Article Ini:

Konsert separuh akhir Mentor 6 menyaksikan penguasaan protégé Ella, Caroline apabila berjaya melangkah ke peringkat akhir dengan markah paling tinggi di antara kesemua protégé yang bertanding. Tidak hairanlah nama Caroline berjaya ‘trending’ di laman sosial Twitter. Bukan setakat undian SMS, Caroline juga dilihat mengungguli penilaian juri tetap.

Menyanyikan lagu mentornya sendiri, Caroline berjaya memecahkan badi Ella yang disebut-sebut sebagai bayangannya apabila menyampaikan lagu Layar Impian dengan cara tersendiri. Tampak selesa di pentas, gimik air yang mengiringi persembahan kedua beliau menerusi lagu Set Fire To The Rain melengkapkan interpretasi seni gadis kelahiran Tanah Merah, Kelantan ini.

“ Alhamdulillah, Caroline tak sangka boleh sampai ke peringkat ini. Pertamanya Caroline bersyukur sebab peminat suka akan persembahan Caroline dan mereka terima Caroline seadanya. Mereka juga banyak bagi sokongan pada Caroline. Keduanya, tiada apa yang lebih Caroline syukuri selain mendapat tunjuk ajar Kak Ella sebagai mentor. Kak Ella banyak beri tunjuk ajar pada Caroline. Caroline janji dengan semua akan buat yang lebih baik untuk konsert akhir nanti “.

Mentornya ketika ditemui meluahkan kerisauan dan kekhuatirannya mengenai persiapan konsert akhir nanti. Kata Ella, saat nama mereka diumumkan sebagai finalis, pelbagai perkara bermain di minda Ella. Ternyata, tanggungjawab yang Ella galaskan di peringkat akhir ini memerlukan Ella untuk lebih bersedia.

“ Bila sahaja Ella dengar Caroline masuk final, memang Ella gembira. Tapi dalam gembira itu Ella terfikir banyak lagi benda yang kita tak bincang untuk konsert akhir ini. Dengan masa yang suntuk, Ella harap keadaan akan jadi baik untuk Caroline dan Ella “.

Di atas kertas, Caroline dan Ella kini disebut-sebut menjadi calon pilihan untuk bergelar juara Mentor 6. Namun semua itu masih terlalu awal untuk dinilai. Kemampuan Zatul melontarkan vokal yang bagus diiringi persembahan yang berbeza berupaya menenggelamkan Caroline. Tidak dilupa, Anas yang bijak mengawal pentas juga menjadi pencabar terdekat. Siapa yang akan membawa pulang wang tunai RM 100,000 hanya akan diketahui Ahad depan. Teruskan mengikuti perkembangan Mentor 6 hanya di GUA!

Google Ads





Cari



JOM JOIN!

Iklan | Tentang Kami | Hubungi Kami
© Gua.com.my 2012 - Hak cipta terpelihara
Sebahagian daripada Alt Media Sdn Berhad