Mentor 6 – Zatul Bawa Semangat Ana Ke Pentas
Minggu demi minggu, pelbagai genre lagu telah dibawa oleh gadis ini bagi membuktikan kehadiran beliau di pentas Mentor 6 bukanlah sekadar status pernah bergelar juara Bintang Idola Berita Harian sebelum ini. Kelunakan suara pemilik nama penuh Noor Nazatul Farahin menerusi lagu Tak Bisa Memilihmu membuai perasaan seisi Auditorium MBSA, Shah Alam. Rendisi tersendiri beliau mengalunkan Lagu Untukmu mengundang jeritan dan sokongan peminat Mentor 6.
Kerja keras protégé Fauziah Dato’ Ahmad Daud ini ternyata membuahkan hasil. Zatul muncul juara konsert battle terakhir tersebut dan seterusnya mara ke separuh akhir bersama-sama Caroline mewakili kumpulan B. GUA menemui Zatul selepas sahaja berakhirnya konsert tersebut malam kelmarin. Zatul yang masih lagi kelihatan terkejut dengan kemenangan beliau di konsert itu berkongsi cerita menarik di sebalik persembahan bertenaga beliau minggu ini.
“ Sebenarnya, apa yang penonton saksikan di konsert tadi adalah diri dan perasaan Zatul sebenar. Emosi Zatul tak stabil dan perasaan bercampur baur. Bila dapat tahu Zatul berjaya melangkah ke peringkat separuh akhir, bermacam-macam perasaan Zatul rasa. Gembira ada, sedih ada “.
“ Apa yang Zatul zahirkan sewaktu konsert sebentar tadi memang ikhlas dari hati Zatul. Tak ada terlintas pun niat untuk pancing undi dan sebagainya. Zatul buat semua ini untuk keluarga, peminat dan Kak Ogy sendiri. Zatul juga bawa semangat Ana dalam persembahan Zatul. Kami berdua rapat, jadi itu yang buat Zatul makin semangat untuk melawan berhabis-habisan “, ujar gadis kelahiran negeri jelapang padi ini.
Mentornya, Fauziah Dato’ Ahmad Daud ketika ditemui menyifatkan kemenangan malam itu sebagai satu rezeki yang amat berharga. Mengambil kira pandangan juri tetap terhadap prestasi anak didiknya, Ogy berpendapat setiap insan seni itu harus sentiasa memperbaiki kelemahan diri untuk menjadi lebih baik.
“ Saya mengambil kira segala kritikan dari kedua-dua juri professional secara serius. Orang memandang kita ini sebagai orang lama dalam industri tapi sebenarnya masih banyak yang kita perlu belajar dan melalui pengalaman dan kritikan inilah, banyak buat saya fikir. Kebetulan 2 hari sebelum latihan, ilham untuk persembahan itu datang “.
“ Saya cakap dengan Zatul, apa kata kita buat sesuatu yang lain dari yang lain maka muncullah idea ala ‘gothic’. Dari awal saya pesan dengan Zatul, jika tidak ada rezeki ke separuh akhir pun biarlah penonton ingat dan terkesan dek persembahan kita. Alhamdulillah. Segalanya berjalan lancar “, ujar Ogy yang suatu ketika dahulu popular dengan lagu Wajah Rahsia Hati.
GUA dikhabarkan kerisauan Ogy juga disebabkan keadaan kesihatan Zatul yang mengalami selsema di samping tekanan berdepan penyingkiran. Apa-apapun, GUA ucapkan tahniah kepada Zatul kerana berjaya membuktikan jangan sesekali berpantang maut sebelum ajal, berpantang undur sebelum kalah.
Saksikan pertarungan separuh akhir Mentor 6 minggu hadapan. Siapakan pilihan anda di antara Zatul, Anas, Tisha dan Caroline? Teruskan melayari GUA untuk berita terkini Mentor 6!


