Misha Omar Mengaku Tunang Bukan Lelaki Idaman!

8 Aug 2012, 12:00am   |     |    Utama > BERITA ARTIS >
Kongsi Article Ini:

Selepas mengambil keputusan menangguhkan perkahwinan bersama jejaka pilihan, Firos Ezzwan Rossly, Misha Omar tampil membuat pengakuan bahawa juruterbang Penerbangan Malaysia (MAS) itu bukan lelaki idamannya. Jadi, mungkinkah ini punca sebenar Misha melengah-lengahkan hari bahagianya?

“Kalau ikutkan minat, saya memang tidak suka dengan lelaki bertubuh gempal atau besar. saya suka lelaki Metroseksual. Firos tidak mempunyai ciri lelaki idaman saya itu. Namun,  saya pilih dia kerana keikhlasan dan kebaikan hati-budinya. Saya tahu dia menyayangi saya dengan sepenuh hati.  Kalau saya dapat lelaki idaman sekali pun, belum tentu dia boleh menyayangi saya seperti Firos lakukan. Kami saling menggagumi dan dia adalah lelaki terbaik untuk dijadikan suami dan ayah kepada anak saya. Dia melengkapi hidup saya,” ujar Misha menjawab persoalan tentang ciri-ciri lelaki idamannya. 
Dalam masa yang sama, wajah baru Shiseido ini mengakui hidupnya kini semakin seimbang selepas bergelar tunangan orang. Jelas Misha, hatinya lebih tenang dan sentiasa berbunga memandangkan orang dicintai sentiasa bersamanya.

“Selepas bertunang saya dapat merasakan perbezaan dalam hidup saya. Dahulu orang sering buat spekulasi tentang status perkahwinan saya. Kini cerita-cerita begitu tidak kedengaran lagi. Hati saya rasa lebih tenang dan sudah tentu saya kini bahagia. Macam yang saya katakan tadi, Firos melengkapi hidup saya. Dia sentiasa cuba menggembirakan saya.

Walaupun kadang-kala berlaku perselisihan faham, tetapi kami berjaya mengharungi cabaran itu. Maklumlah alam pertunangan ini dugaannya besar. Orang kata ‘darah manis’. Kalau ada perkara yang menimbulkan rasa kurang senang antara kami berdua, kami akan berbincang dengan baik. Saya bangga  dengan pencapaian kami hari ini. Tempoh bertunang ini adalah masa terbaik untuk kami belajar menyesuaikan diri,” ujar Misha dengan wajah berseri-seri.

Ditebak dengan tarikh perkahwinan, pemilik nama Samihah Omar ini sekali lagi menjelaskan bahawa sehingga kini dia masih belum memilih tarikh yang diinginkan.

“Kalau boleh hendak selesaikan tahun hadapan. Kami memang hendak langsungkan perkahwinan cepat-cepat. Begitu juga dengan keluarga kedua-dua belah pihak. Tetapi, kami harus berfikir secara rasional. Firos masih dalam latihan kerja. Saya tidak mahu bebankan dia dengan memikirkan persiapan perkahwinan. Komitmen kerja lebih penting. Biarlah dia selesaikan latihan penerbangan dahulu sebab sekarang ini dia sering tertekan. Buat persiapan perkahwinan ini bukannya mudah. Banyak perkara yang perlu difikirkan. Saya tak mahu bebankan dia dengan lain-lain tanggungjawab,” ujar Misha berterus-terang.

Sempena Aidilfitri ini, Misha Omar akan muncul dalam satu telemovie Raya berjudul ‘Untung Atas Angin’ yang akan disiarkan di saluran RTM. Misha akan berganding dengan Didie Alias, Roy Azman, Erin Malik dan Enot.






Cari



JOM JOIN!

Iklan | Tentang Kami | Hubungi Kami
© Gua.com.my 2012 - Hak cipta terpelihara
Sebahagian daripada Alt Media Sdn Berhad