Idea Kreatif Namewee Raih Simpati
Mengejutkan persada seni dengan berita Namewee dibelasah oleh individu yang tidak dikenali ketika dia sedang mengadakan sidang media baru-baru ini, ramai yang menggangap pengarah muda tersebut cuba mencari publisiti murahan.
Anak kelahiran Johor ini satu ketika dahulu mencipta kontroversi yang menggegarkan satu Malaysia serta mencetuskan perdebatan hangat kerana didakwa menghina lagu Negaraku. Tidak dinafikan bakat besar Namewee sering dikecam kontroversi.
Hadir ke Malam Gala Hantu Gangster di Berjaya Times Square semalam bertongkat dan berpakaian seperti teruk dibelasah, Namewee tidak segan silu megiyakan yang dia menagih simpati orang ramai untuk menonton filem ini.
“Kalau ada yang menganggap saya meraih simpati dan mencari publisiti murahan. Maka itu terserah kepada mereka kerana saya kekurangan budget untuk mempromosikan Hantu Gangster. Ini adalah salah satu gimik bagi menarik perhatian peminat,” katanya.
Publisiti murahan yang diraih adalah ukuran sejauh mana seseorang itu berjaya mendapat tempat di hati masyarakat. Bagi Namewee, tampil sebagai karakternya di dalam filem tersebut mungkin mampu menjadikannya segar dalam pemikiran masyarakat.
Kebiasaannya, penerbit dan pengarah filem selalunya membawa artis mereka turun padang. Namun kerana kekurangan budget, Namewee menggunakan pendekatan yang kreatif untuk mempromosikan filem tersebut.
Namewee turut mengajak Datuk Lee Chong Wei untuk menonton filem Hantu Gangster bagi melepaskan tekanan selepas berhempas pulas di Sukan Olimpik baru-baru ini. Pelbagai reaksi diberikan terhadap pemain badminton nombor satu Negara tersebut setelah ditewaskan oleh Lin Dan.


