Noah Bersemangat Jayakan Konsert Tentang Bahtera

5 Sep 2012, 12:00am   |     |    Utama > BERITA ARTIS >
Kongsi Article Ini:

Penantian peminat muzik tanah air untuk menyaksikan persembahan secara langsung artis tempatan dan Indonesia bakal berakhir dengan penganjuran Konsert Tentang Bahtera yang menggabungkan kumpulan yang dulu dikenali sebagai Perterpan iaitu Noah, 6ixth Sense, The Malayan dan trio Gamaliel Audrey Cantika (GAC).

Persembahan yang bakal berlangsung pada 16 September ini dijadualkan berlangsung di KL Live, Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur, bermula jam 4 petang dengan dihangatkan dengan kemunculan Ariel yang penuh kontroversi bersama ahli kumpulannya, diterbangkan secara eksklusif dari Indonesia.

Ternyata penganjuran konsert seperti mengembalikan kegemilangan kerjasama artis Malaysia-Indonesia yang terjalin sejak era 1970-an, mengeratkan aliran muzik Melayu yang dapat menghiburkan peminat yang selama ini menjadi tulang belakang penggiat seni tanah air.

Menyentuh berkenaan Noah, bekas anggota Peterpan ini semakin bersemangat apatah lagi band ini sebenarnya lebih banyak cahaya cemerlang berbanding kelam dek hukuman yang dikenakan terhadap vokalisnya, namun sedikit pun tidak mematahkan semangat untuk kumpulan ini berjuang dengan sesuatu yang lebih baik berbanding sebelumnya.

Mari kita lupakan terus kejadian yang menimpa Ariel, kerana pembebasan penyanyi kumpulan yang lebih dikenali sebagai Peterpan sedikit masa dulu bukanlah sebagai ‘bekas banduan’ yang dipandang sepi, malah disanjung kerana ramai yang ‘membesar’ dengan lagu mereka.
 
Diperkuatkan dengan ahli kumpulan lain yang masih terus setia bersamanya iaitu Lukman, Uki, Reza dan David, kemunculan Peterpan dengan nama baru, Noah, bukanlah sesuatu yang asing dalam industri muzik tempatan apatah lagi di peringkat antarabangsa.
 
Hybrid Theory sempat digunakan Linkin Park sebelum muncul, juga band ‘grunge’ Mookie Blaylock yang akhirnya lebih dikenali sebagai Pearl Jam, tidak lupa On a Friday mengubah nama menjadi Radiohead, Jimmy Page bersama The New Yardbirds yang berubah menjadi Led Zeppelin atas kemasukan Keith Moon, pemain dram The Who, juga jaguh metal, The Polka Tulk Blues yang dunia mengenali mereka sebagai Black Sabbath.
 
Ternyata soal nama bukanlah mengubah bakat mereka, namun kerana nama juga mereka menganggap ini satu doa untuk memulakan perjalanan baru, juga sebagai penanda yang akan membentuk persepsi, jenama, kedudukan, jati diri, serta simbol daripada keberadaan sesebuah band.
 
Sejak ditubuhkan pada1 September 2000, band yang awalnya terdiri daripada Ariel sendiri selaku vokalis, Andika (keyboard), Uki (gitar), Lukman (gitar), Indra (bass), dan Reza (dram) ini sepakat memakai nama Peterpan.
 
Bernaung bawah label Musica Studio’s, mereka berjaya melahirkan album kompilasi berjudul Kisah 2002 Malam pada tahun 2002, dan menerusi kejayaan lagu Mimpi Yang Sempurna, bersama-sama produser Noey dan Capung, mereka kemudiannya melahirkan album penuh bertajuk Taman Langit pada tahun 2003.
 
Kejayaan album itu sekali gus melahirkan idola baru dalam dunia seni Indonesia, malah menjadi buah mulut di Malaysia sehingga Peterpan dianggap nama besar di kedua-dua negara, malah menjadi fenomena di negara lain di Asia Tenggara seperti Singapura dan Brunei.
 
Dengan kejayaan itu, kumpulan ini terus mengorak langkah dengan menghasilkan album Bintang Di Surga pada 2004, serta album runut bunyi filem Alexandria pada 2005 yang membuatkan kedudukan mereka semakin kuat di seluruh pelosok Indonesia dan Malaysia.
 
Bagaimana pun, perjuangan mereka sedikit tercalar apabila Indra dan Andikan mengundurkan diri daripada Peterpan ketika album seterusnya, Hari yang Cerah diterbitkan pada tahun 2007, sekaligus menampilkan empat orang saja dalam band berkenaan.
 
Ada bayangan untuk Peterpan tidak lagi menggunakan nama itu ketika album berkembar, Sebuah Nama Sebuah Cerita diterbitkan pada tahun 2008, apatah lagi sejak mundurnya Andika dan Indra, nama Peterpan tidak lagi sesuai dengan perjanjian yang pernah termetrai antara mereka.

Penglibatan pemain keyboard, David bermula tahun 2009 sebelum secara rasmi bergabung sebagai anggota tetap Peterpan juga memperlihatkan ada keperluan untuk mereka membawa nama dan imej baru kepada kumpulan ini.
 
Bagaimana pun, tahun 2010 membawa awan hitam kepada mereka apabila dugaan melanda ketika album keenam hampir menjengah pasaran, apabila Ariel terpaksa menerima hukuman penjara, namun itu tidak mematahkan semangat  Uki, Reza, Lukman dan David yang tetap sabar menunggu kepulangan Ariel.

Ketika di dalam penjara juga Ariel sempat melahirkan single berjudul Dara tahun lalu, malah ketikapenyanyi kacak itu menghuni jeriji besi di Kebon Waru, Bandung itu, empat anggota lain sempat melahirkan album instrumental berjudul Suara Lainnya - Ariel, Uki, Reza, Lukman, David awal tahun ini.    
 
Album ini turut menampilkan vokal Momo, vokalis kumpulan Geisha yang turut dikenali di Malaysia dengan lagu Cinta Dan Benci sebelum ini, menerusi lagu Cobalah Mengerti.
 
Kini Noah dengan bangganya mempersembahkan sebuah single terbaru berjudul Separuh Aku yang mendapat sambutan hangat khususnya peminat Peterpan, apatah lagi jumlah tontonan klip video mereka di laman YouTube mencapai jumlah lebih sejuta dalam lima hari sahaja.

Tiket konsert yang dianjurkan Livescape dan mendapat kerjasama daripada Universal Music, Celcom, Sinar Harian dan Media Hiburan ini boleh dibeli melalui Ticketpro dengan harga bermula dari RM55 (pra jualan), RM75 dan RM130 (termasuk makanan dan minuman).

Google Ads


Komen Anda





Cari



JOM JOIN!

Tentang Kami | Terms Of Use
© Gua.com.my 2014 - Hak cipta terpelihara
Sebahagian daripada Alt Media Sdn Berhad (272025-V)