Noh Rasa Seperti Rockstar
Noh Hujan bukanlah nama asing lagi di dalam industri seni tempatan terutamanya setelah kumpulan indie tersebut telah dijulang menjadi juara rancangan Versus. Noh kini telah melebarkan sayapnya dengan berjinak-jinak dalam bidang lakonan.
Tawaran yang diberikan oleh pengarah muda Namewee kepada Noh bagi filem terbarunya, Hantu Gangster langsung tidak dilepaskan olehnya. Kemunculannya melalui filem tersebut menjadi taruhan pertama Noh di layar perak.
Menganggap dirinya belum lagi layak digelar pelakon kerana wataknya kecil di dalam filem tersebut namun peluang yang diberikan Namewee diterima kerana tidaklah begitu sukar dihayati. Noh masih lagi hijau dalam dunia anak wayang dan masih ingin menimba pengalaman serta sekadar ingin mencuba.
“ Ini merupakan kali pertama saya muncul dalam filem dan saya merasakan layanan yang diberikan oleh Namewee dan kru produksi adalah antara yang terbaik di Malaysia. Saya merasakan seperti rockstar kerana mendapat layanan seperti pelakon di Hollywood,” kata Noh ketika ditemui di malam gala tayangan filem Hantu Gangster di Berjaya Times Square,kelmarin.
Tambah Noh, walaupun filem ini berunsur komedi namun menerapkan mesej yang kuat kepada penonton. Dia tidak mengalami kesukaran untuk melakonkan watak yang diberikan kerana karakter tersebut adalah ringan.
“Saya memang ingin berlakon lagi jika diberikan tawaran yang tidak terlalu sukar hendak dihayati. Saya pernah ditawarkan berlakon sebagai karakter pemuzik yang sedikit berat yang memaksa saya untuk menolak tawaran tersebut,” katanya.


