Nurul Wahab Tak Hirau Pendapat Peminat?

27 Mar 2012, 12:00am   |     |    Utama > BERITA ARTIS >
Kongsi Article Ini:

Selepas berpisah dengan Ajai, selain digosipkan dengan beberapa lelaki, Nurul Wahab juga dikatakan berubah imej menjadi lebih seksi. Kulit album ‘Tika Cinta’ yang dilancarkan pada 2009 lalu turut mengundang cakap-cakap kurang enak didengar. Ramai membuat kesimpulan Nurul  berubah imej kerana hendak ‘pasang badan’ bagi mencari pasangan hidup yang baru. Lebih dahsyat lagi, ada yang menuduh dia mahu memikat golongan VVIP. Walau bagaimanapun, Nurul tidak mudah melatah. Sebaliknya dia bersikap terbuka dan menerima pendapat peminat itu sebagai peringatan.

Setelah menghilangkan diri buat seketika, hari ini Nurul muncul dengan cerita terbaru. Pertama, dia mengumumkan tentang perkahwinannya pada tahun ini, dan yang kedua dia mahu melancarkan album terbaru pada Mei ini. Seiring dengan pelancaran album terbaru itu, Nurul memberitahu yang dia akan membuat sedikit perubahan dengan penampilan diri.

“Saya mahu tampil berbeza untuk album terbaru itu nanti. Bukan kerana ingin lari daripada imej seksi yang diperkatakan orang selama ini. Saya tidak pernah rasa penampilan saya terlalu seksi. Kadangkala orang salah faham apabila melihat foto-foto yang dirakamkan oleh jurugambar. Maklumlah, ada sesetengah sudut gambar ini boleh membuatkan kita nampak seksi, tapi hakikatnya tidak. Jadi, saya tidak mahu terlalu mendengar cakap-cakap orang. Saya tahu apa yang saya pakai dan tahu menjaga batasnya,” ujar Nurul yang ditemui selepas program Wanita Hari ini tengahari tadi.

Bercerita tentang pembikinan album terbaru, Nurul menjelaskan kali ini dia memilih Andi Merican untuk menerbitkan album yang memuatkan lima buah lagu itu.

“Andi yang datang berjumpa dengan saya untuk buat album baru ini. Memandangkan saya memang memerlukan material baru, jadi saya tidak lepaskan peluang untuk bekerjasama. Lagipun Andi memang yang kreatif dan lagu-lagu yang dihasilkan sedap didengar. Saya masih kekalkan konsep pop dan balada untuk album kali ini, cuma iramanya agak rancak. Saya sudah pun siap merakamkan empat buah lagu dan lagu yang terakhir akan dirakamkan pada hujung bulan ini. Mudah-mudahan album kali ini akan mendapat sambutan yang lebih memberangsangkan,” ujar Nurul sebelum meminta diri.

Google Ads
Komen Anda





Cari



JOM JOIN!

Tentang Kami | Terms Of Use
© Gua.com.my 2014 - Hak cipta terpelihara
Sebahagian daripada Alt Media Sdn Berhad (272025-V)