OutLOUD Studios Meriahkan Syawal Dengan 2 Telefilem

19 Aug 2012, 12:00am   |     |    Utama > BERITA ARTIS >
Kongsi Article Ini:

Bagi menceriakan lagi pagi Syawal anda, syarikat produksi OutLOUD Studios akan menerbitkan dua buah telefilem raya berjudul ‘Meriahnya Raya’ dan ‘Esok Raya Beb’ pada Aidilfitri kali ini. Menariknya, dua telefilem bergenre komedi arahan Esmi Zahara ini akan menggamatkan lagi suasana raya anda dengan aksi mencuit hati dari barisan pelakon popular tanah air.

‘Meriahnya Raya’ bakal disiarkan pada Hari Raya pertama jam 10.00 pagi hingga 12.00 tengah hari di TV1. Telefilem ini dibarisi oleh Arash Mohd, Amyza Adnan, Ozlyn Wati, Syarifah Sakinah, Azhan Rani dan Ryzal Jaafar. ‘Meriahnya Raya’ berkisarkan tentang adik beradik iaitu Rasyid (Arash Mohd) dan Rahman (Azhan Rani) yang sudah lama tidak pulang beraya di kampung semenjak kematian ibu bapa mereka.

Kini selepas 5 tahun, mereka akhirnya mengambil keputusan untuk pulang beraya di kampung yang sekarang ini dihuni oleh adik mereka,Razi (Ryzal Jaafar). Pelbagai aksi dan ragam yang dicetuskan oleh isteri-isteri mereka sehingga menimbulkan kekecohan akibat salah faham.

Malam sehari sebelum Aidilfitri, Durra menuduh Farah mencuri barang kemasnya kerana cemburu dengan harta yang dimilikinya. Farah berkeras menafikannya lalu menuduh Maisara pula. Apakah yang berlaku seterusnya dan adakah mereka akan beraya bersama-sama nanti, jangan ketinggalan untuk saksikan ‘Meriahnya Raya’, pada Hari Raya pertama jam 10.00 pagi hingga 12.00 tengah hari di TV1.

Manakala pada Hari Raya ketiga pula, penonton bakal disajikan dengan telefilem berjudul, ‘Esok Raya Beb’. Disiarkan jam 10.00 pagi hingga 12.00 tengah hari, ‘Esok Raya Beb’ mengandingkan pelakon mantap, Zul Huzaimi dan Eira Syazira sebagai teraju utama.

Telefilem ini mengisahkan tentang Irwan yang mengambil keputusan untuk tidak mahu pulang beraya ke kampung setelah kehilangan ibunya tahun lepas. Namun, di saat akhir Irwan telah mengubah fikiran namun perjalanannya pulang ke kampung penuh dengan cabaran dan dugaan.

Berjayakah Irwan sampai di kampung halamannya, sama-sama kita saksikan telefilem ini pada Hari Raya ketiga, jam 10.00 pagi hingga 12.00 tengah hari di TV1.  ‘Esok Raya Beb’ juga turut dibintangi oleh Razak Ahmad, Kazar, Ernie Chen, Joey Daud, P. Jeganathan, Azad Jazmin dan Ucop Cecupak.






Cari



JOM JOIN!

Iklan | Tentang Kami | Hubungi Kami
© Gua.com.my 2012 - Hak cipta terpelihara
Sebahagian daripada Alt Media Sdn Berhad