Part Of Me Katy Perry Untuk Tontonan Umum
Nama Katy Perry melonjak naik menerusi lagu “ I Kissed A Girl’ yang menjadi siualan anak – anak remaja era ini. Perwatakannya yang gila-gila juga turut menjadi trend masa kini dikalangan remaja melalui cara pemakaian dan rambut palsu yang terdiri daripada pelbagai warna meriah.
Bagi menghargai para peminat yang setia menyokongnya, Katy Perry mengabdikan detik-detik bersejarah dalam hidupnya untuk tontonan umum. Filem dokumentari yang berjudul Part Of Me ini diarahkan oleh Jane Lipsitz dan Dan Cutforth.
Filem ini seperti diari Katy Perry yang menceritakan pahit getirnya bergelar anak seni serta merakamkan footage close-up sepanjang berlangsungnya konsert California Dreams sejak dua tahun lalu.
Perwatakannya yang ceria dan kelakar mewarnai lagi filem ini dan secara tidak langsung membuatkan para peminat lebih mengenali penyanyi sensasi ini dengan lebih rapat lagi. Kebanyakkan lagu juga ditulis sendiri oleh Katy Perry yang lahir dari hatinya.

Terdapat beberapa watak seperti pengurus, pembantu, jurumekap dan ahli keluarga yang diketengahkan di dalam filem kerana merupakan tulang belakang yang banyak membantu kerjaya penyanyi sensasi ini.
Filem dokumentari ini turut menyelitkan percintaan Katy Perry dan pelawak, Russell Brand yang diketahui umum sehingga membawa mereka ke gerbang perkahwinan. Turutan babak juga turut menyelitkan bagaimana kesibukan dalam mengejar kerjaya masing-masing yang memberikan salah satu punca keretakan rumahtangga mereka.
Penonton turut bakal merasakan kekecewaan yang dirasakan oleh Katy Perry melalui detik-detik meruntun jiwa yang dilalui olehnya namun terpaksa membuang dan menepis kesedihan bagi menjayakan konsert jelajahnya itu.
Walaupun tidak bersedia untuk meneruskan persembah, namun menjadi tanggungjawabnya untuk mengesat airmata dikala kesedihan bagi memberikan persembahan terbaik adalah antara harga yang perlu dibayar oleh artis terkenal untuk menghiburkan para peminat.
“Seorang bayi tidak boleh mempunyai bayi dan saya masih seorang bayi,” kata Katy Perry di dalam filem dokumentarinya yang bakal menemui para peminat pada 30 Ogos ini.


