Pemenang Sudah Ditetapkan?
Cerita sebegini bukan pertama kali sampai ke telinga GUA. Perkara biasa jika ada pihak yang tidak puas hati dengan keputusan sesebuah pertandingan. Walaupun jika keputusan tersebut dibuat juri profesional yang sepatutnya lebih arif dalam bidang yang diadili. Kalau berdasarkan keputusan undian SMS, lagi nyaringlah rungutan itu.
Mengikut cerita yang disampaikan kepada GUA dari mereka di belakang tabir, pemenang bagi sebuah program nyanyian ini sudah diketahui seminggu sebelum malam penentuan! Walhal, kuasa menentukan pemenang saban minggu diwar-warkan sebagai berada di tangan penonton melalui undian SMS.
Melainkan pihak produksi telah mendapatkan khidmat tukang tilik untuk melihat masa depan, mana mungkin mereka tahu siapa pemenangnya? Kalau nak kata mereka melihat pada trend undian SMS mingguan, tak masuk akal juga kerana pemenang pilihan tidak pernah berada di tangga teratas.
Jadi, adakah kerana pihak produksi tidak mempercayai penilaian penonton sehingga mereka perlu 'masuk campur' dan menentukan keputusan yang dirasakan lebih wajar?
Apa yang berlaku di malam finale menguatkan lagi cerita yang disampaikan. Ramai yang merungut dengan GUA tidak dapat menghantar undian mereka. Yang pelik sekali, bila ada mengatakan mereka menerima SMS berbunyi 'Nama peserta tidak sah' selepas menghantar undian!
Mungkin ini sebetulnya hanya masalah teknikal. Jika benar, diharapkan masalah ini dapat diselesaikan untuk mengelak dari sejarah berulang.


