Pengarah Tarik Diri, Show Batal Bikin Istana Budaya Sepi

21 Sep 2012, 12:00am   |     |    Utama > BERITA ARTIS >
Kongsi Article Ini:

Istana Budaya sememangnya sinonim sebagai lokasi pementasan karya seni terkenal dari teater sehinggalah kepada penganjuran konsert artis terkemuka. Baru-baru ini, timbulnya dakwaan mengatakan pentas bertaraf dunia itu sepi dari sebarang persembahan dek isu penarikan diri beberapa karya utama. GUA berpeluang menemubual Pengarah Istana Budaya, Dato' Juhairi Shaarani berhubung isu ini.

" Sebenarnya sepanjang bulan puasa hari itu  kita memang ada persembahan cuma tak banyak pementasan karya bahasa Melayu. Kita beri laluan kepada pementasan karya-karya lain. Selain itu juga, kita sedang melakukan proses selenggaran sistem perpaipan kita untuk keselesaan masa hadapan. Itu yang kita tak berapa nak aktif sebelum Aidilfitri ".

" Mengulas mengenai isu penarikan diri beberapa pengarah baru yang melibatkan karya utama juga salah satu sebab mengapa show kita tidak banyak. Dulu pernah dipersoalkan yang Istana Budaya ini pilih kasih bila mana hanya sesetengah pengarah dan produksi yang dah biasa dan selalu pentaskan karya di Istana Budaya sahaja diberi peluang ".

" Jadi Istana Budaya bersikap telus dan beri peluang kepada pengarah baru untuk tonjolkan kemampuan dan bakat mereka. Namun yang menjadi masalahnya bila mereka ini kurang pengalaman dan menghadapi masalah terutamanya untuk mendapatkan tajaan"

" Mereka sudah pun membuat tempahan awal dan kita pun dah isi tarikh-tarikh yang berkenaan. Bila mereka tidak berjaya buat persiapan dalam tempoh waktu yang diberikan, mereka tarik diri dari pementasan. Jadi ia menyukarkan pihak kami untuk mencari persembahan untuk digantikan kerana kebiasaannya kita akan buat persiapan 6 bulan sebelum sesuatu karya dipentaskan ".

" Saya akui pihak Istana Budaya kecewa dengan penarikan pengarah dan pembatalan karya-karya ini apatah lagi ia melibatkan karya-karya utama. Bayangkan, dari 15 karya utama sepanjang tahun 2012, 5 darinya telah pun dibatalkan dan ada juga dibawa ke tahun hadapan. Secara tidak langsung, ia telah memberi kesan kepada kelancaran program berdasarkan kalendar acara seni Istana Budaya yang telah pun kami susun ".

" Perkara ini sedikit sebanyak merencatkan pengisian program kelolaan Istana Budaya sendiri. Program tahunan Dari Novel ke Pentas yang dijadualkan akhir tahun ini pun terpaksa kami bawa ke tahun hadapan disebabkan masalah-masalah ini ".

Menurut Dato' Juhairi lagi, sebagai langkah proaktif pihak Istana Budaya dalam menangani masalah ini pihaknya akan lebih teliti dalam memilih karya yang akan dipentaskan. Surat hitam putih persetujuan artis dan penyata akaun bank pihak produksi juga diperlukan demi menjaga nama baik Istana Budaya sebagai wahana pencetus kegemilangan industri kreatif tanahair.

Dato' Mohamed Juhairi Shaarani berkata demikian sewaktu ditemui di majlis Rumah Terbuka Istana Budaya pagi semalam.






Cari



JOM JOIN!

Iklan | Tentang Kami | Hubungi Kami
© Gua.com.my 2012 - Hak cipta terpelihara
Sebahagian daripada Alt Media Sdn Berhad