Pentas Semula Usikan Rebab,Tetap Gagal Tarik Penonton
Walaupun baru dipentaskan April lalu, The Actors Studio Seni Teater Rakyat berkeputusan untuk mementaskan kembali monodrama ‘Usikan Rebab’, arahan Norzizi Zulkifli, lakonan Zamzuriah Zahari di Pentas 2, Kuala Lumpur Performing Arts Centre (KLPAC). Inisiatif untuk mementaskan kembali teater ini berdasarkan sambutan yang diterima pada pementasan pertama dari kalangan elitis dan selebriti ternama. Menurut sumber-sumber tertentu, ianya dipentaskan semula atas ketidaktahuan dari kalangan peminat-peminat teater Melayu lalu pihak KLPAC berkeputusan untuk mementaskan sekali lagi.
Kali ini, Usikan Rebab diadakan bersempena dengan Festival Kuala Lumpur 2012 sepanjang Julai lalu yang sepatutnya membuka peluang bukan sahaja kepada khalayak tempatan, malah menarik pelancong luar negara untuk menonton drama mengenai Mak Yong, sebuah tarian tradisional Kelantan. Melalui pengarahan Norzizi, ‘Usikan Rebab’ diberikan sentuhan yang berlainan berbanding dengan pementasan pertama yang dipersembahkan selama 90 minit, dalam dialek Kelantan dan Bahasa Melayu dengan sarikata dalam Bahasa Inggeris.
Atas promosi ‘Back by Popular Demand’ yang dikeluarkan oleh KLPAC, diharapkan pementasan kali ini dapat menarik lebih ramai penonton teater. Malangnya, pada pementasan pertama yang diadakan, hanya empat penonton berbayar sahaja. Lebihannya ialah krew pentas dan kakitangan KLPAC sendiri. Secara puratanya, Usikan Rebab ini hanya mampu untuk menarik seramai lebih kurang 25 orang sahaja.
Naskah ini dikarang oleh Zamzuriah, pemenang Penari Bakat Muda, Anugerah Seni Negara 2006. Beliau juga memenangi Pelakon Terbaik dan Skrip Terbaik dalam Festival Monodrama DBP 2011 melalui naskah ‘Usikan Rebab’ ini.
“Pada Oktober 2011, Datin Marion D’ Cruz serahkan naskah ini kepada saya untuk diarahkan. Melalui TAS Seni Teater Rakyat, Dato’ Faridah Merican bersetuju menerbitkan naskah ini,” jelas Norzizi dalam temubual dengannya. Norzizi Zulkifli bukanlah seorang yang asing dengan persembahan Mak Yong. Beliau pernah mengarahkan beberapa persembahan Mak Yong di Istana Budaya dan di KLPAC malah pernah membuat eksperimen Mak Yong melalui persembahan ‘Mak Yong Titis Sakti’, diilhamkan dari karya William Shakespeare ‘A Midsummer Night’s Dream.
‘Usikan Rebab’ mengisahkan bagaimana seorang primadona Mak Yong berhadapan dengan dugaan dari tiga anak perempuannya dalam mempertahankan kesenian Mak Yong. Ketiga-tiga anak perempuannya mewakili masyarakat hari ini yang hidup dalam kemodenan dan menganggap Mak Yong adalah persembahan yang kolot, tidak bermoral dan syirik. Persembahan bertenaga Zamzuriah membawa watak-watak ini dihidupkan lagi dengan iringan muzik yang dimainkan oleh Kamrul Baisah Hussin.
Mengenai tanggapan masyarakat terhadap kesenian Mak Yong, Norzizi berpendapat, “Primadona Mak Yong yang sudah bersara, pasti mengalami apa yang dipanggil ‘angin Mak Yong’ di mana tanpa disedari, lagu-lagu gesekan rebab serta suara ghaib dari watak-watak akan menghantui dan membuatkan primadona tersebut mengalami tekanan perasaan yang amat teruk. ‘Angin Mak Yong’ ini hanya boleh dirawat dengan Main Peteri, satu lagi persembahan tradisional negeri Kelantan yang hanya dimainkan untuk merawat pesakit.”
“Masyarakat tidak seharusnya menghukum mereka, tetapi masyarakat sepatutnya menyokong mereka untuk terus hidup seperti biasa.” kata Norzizi lagi. Zamzuriah pula menyambung, “Saya yakin penonton akan terhibur dengan persembahan ini kerana lagu-lagunya menarik. Kami tidak menggunakan sebuah kumpulan yang besar, tetapi hanya seorang pemuzik yang memainkan semua alat muzik tradisional yang terdapat dalam persembahan Mak Yong seperti rebab, gendang, geduk, kerisi dan ditambah dengan jimbe.”
Persembahan Menarik Tetapi
Persembahan tersebut amat berlainan berbanding dengan persembahan cliché Mak Yong di mana konflik yang diketengahkan dengan budaya barat yang menyelinap masuk dalam darah ‘Mak Yong’ sehingga trauma tersebut mengakibatkan kematian primadona oleh anaknya sendiri yang tersepit dalam arus ‘pembangunan’.
Sayang bagi naskah sebegitu hebat gagal menarik penonton, sungguhpun ianya dipentaskan buat kali kedua. Apa kurangnya? Adakah nama Norzizi itu sendiri yang lebih dikenali sekarang sebagai ahli akademik berbanding dengan industri itu sendiri atau publisiti yang kurang menonjol?
Zamzuriah sudah laksanakan dengan hasil yang terbaik. Stamina hebat dengan aksi pergerakan dengan hanya alunan rebab suaminya.
Tidak mungkin penggemar teater Melayu enggan untuk menonton teater di KLPAC kerana selepas Usikan Rebab dipentaskan, pementasan teater BENG HOCK oleh Rumah Anak Teater mendapat penonton yang penuh setiap pementasan. Atau mungkin tiketnya yang tidak berada pada tahap kuasa pembeli peminat teater tempatan.


