Pesona Stephen Rahman Pukau Hampir 300 Penonton

2 Jul 2012, 12:00am   |     |    Utama > BERITA ARTIS >
Kongsi Article Ini:

Penantian hampir dua jam untuk menyaksikan penyanyi serta pelakon bertaraf antarabangsa, Stephen Rahman-Hughes di pentas Seduction Club malam tadi ternyata berbaloi dan tidak mengecewakan apabila Stephen berjaya menampilkan satu persembahan yang cukup memukau.

Tampil segak dengan sut hitam, Stephen memulakan persembahan ‘One Night Only with Stephen Rahman-Hughes’ dengan sebuah lagu Melayu berjudul, ‘Expressi’. Walaupun tidak fasih berbahasa Melayu, namun tutur kata Stephen dalam menyampaikan lagu dari album sulung Melayu yang dilancarkannya pada Mac lalu cukup jelas sekali.

Aktor London West End ini kemudiannya menyampaikan lagu ‘Cinta Masih Ada’. Dengan nyanyian yang bersahaja, Stephen berjaya membuatkan hampir 300 penonton yang hadir meremang bulu roma ketika beliau menyanyikan bahagian not tinggi.

Persembahan berdurasi sejam setengah ini diteruskan dengan dua ‘cover song’ Inggeris, ‘Who You Are’ dan ‘Jar of Hearts’. Stephen kemudian menyanyikan lagu ‘Bawalah Aku’ sebelum berehat lima minit untuk sesi kedua.

Dalam sesi kedua, Stephen tampil lebih santai dengan kemeja hitam. Pelakon filem ‘Hikayat Merong Mahawangsa’ ini memulakan sesi kedua dengan lagu cover, ‘Halo’ nyanyian Beyonce. Beliau kemudian meneruskan persembahannya dengan lagu popular dari Righteous Brothers, ‘Unchained Melody’.

Dengan penyampaian penuh perasaan, nyanyian Stephen cukup mendayu dan menusuk kalbu saat menyanyikan lagu tersebut sehingga penonton dapat merasai sendiri perasaan cinta yang disampaikan. Seterusnya, Stephen menghangatkan suasana Seduction Club dengan lagu popular nyanyian Adele, ‘Set Fire To The Rain’. Baik lagu perlahan ataupun rancak, setiap detik malam itu berlangsung dengan penuh kekaguman.

Diselang-selikan setiap lagu dengan komunikasi bersama peminat, Stephen dilihat begitu bijak dan matang berinteraksi dengan penonton sehingga membuatkan mereka yang hadir rasa cukup dihargai.

Sebelum sampai ke persembahan penghujung, Stephen tidak melepaskan peluang menyanyikan lagu popularnya, ‘Bertemu Di Syurga’ dan juga ‘Ku Lepas’. Setiap bait dihayati dengan cukup baik walaupun beliau tidak fasih berbahasa Melayu.

Stephen mengakhiri persembahan malam itu dengan lagu ‘Somebody I Used To Know’ nyanyian Gotye. Lebih menarik, peminat turut sama bertepuk tangan mengikut irama dan menyanyikan lagu tersebut dengan beliau.

Kesimpulannya, bayaran RM80 untuk menyaksikan persembahan ini memang berbaloi walaupun durasinya agak singkat dan rasa tidak puas menonton. Dengan gaya persembahan tersendiri dan penuh pesona, Stephen berjaya menghiburkan serta memukau peminat yang hadir pada malam itu.

Google Ads





Cari



JOM JOIN!

Iklan | Tentang Kami | Hubungi Kami
© Gua.com.my 2012 - Hak cipta terpelihara
Sebahagian daripada Alt Media Sdn Berhad