Pindaan Akta Hak Cipta 1987 Bantu Para Karyawan
Hari Himpunan Bintang MyIPO KOSMO! 2012 yang berlangsung di Hotel Renaissance, baru-baru ini menyaksikan pindaan Akta Hak Cipta 1987 diumumkan kepada semua penggiat seni tanah air. Bertemakan ‘Pertahankan Hak, Kotakan Janji’, majlis tersebut telah dilancarkan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, YB Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob di hadapan lebih 500 para karyawan.
Antara mereka yang hadir ialah Datuk Sharifah Aini, Datuk Yusof Haslam, Norman Abdul Halim, Sofea Jane, Datuk Freddie Fernandez, Zed Zaidi, Fauziah Datuk Ahmad Daud, M. Nasir, Amy Search, Zainal Abidin, Aizat Amdan,Rozita Che Wan dan ramai lagi.
Pada majlis tersebut, tiga peruntukan baru telah diperkenalkan ke dalam Akta Hak Cipta 1987 bagi memartabatkan lagi industri kreatif negara sekaligus membantu menjaga kebajikan penggiat seni tempatan. Taklimat mengenai tiga peruntukan tersebut iaitu Sistem Pemberitahuan Sukarela Hak Cipta, Pendaftaran Badan-Badan Perlesenan dan Penambahbaikan Fungsi Tribunal Hak Cipta telah disampaikan oleh Timbalan Ketua Pengarah Korporat MyIPO, Mohd Shahar Osman.
Selain taklimat, hadirin yang datang juga berpeluang untuk melontarkan pendapat serta meluahkan rintihan mereka mengenai masalah yang berlaku dalam industri. Malah, Dato’ Sri juga meluangkan masa secara santai dengan para karyawan yang hadir bagi mendengar serta membincangkan mengenai permasalahan mereka.
Himpunan pada hari itu juga menyaksikan beberapa pihak menerima Sijil Pemberitahuan Sukarela Hak Cipta di atas pendaftaran karya mereka antaranya Datuk Yusof Haslam menerusi filem KL Gangster, Norman Abdul Halim (Sedetik Lebih), Dato’ Burhanuddon Md Radzi (Upin & Ipin) dan Sharifah Abu Salem (karya Tak Seindah Mimpi).
Selain itu, tiga stesen televisyen, ASTRO, Media Prima Berhad dan RTM turut menerima anugerah khas MyIPO KOSMO! 2012 selaku ‘Pemacu Industri Hak Cipta’. Pelbagai aktiviti menarik dijalankan pada himpunan tersebut antaranya cabutan bertuah dan juga persembahan artis. Penggiat seni yang hadir juga berpeluang mendaftar secara sukarela karya hak cipta mereka di kaunter yang dibuka sempena himpunan tersebut.


