Ras Adiba Radzi Tidak Pernah Digantung Kerja
Akhbar The Star hari ini melaporkan bahawa penyampai berita sambilan ntv7, Ras Adiba Radzi telah digantung dari tugasannya, gara-gara keputusannya untuk membotakkan rambutnya. Tindakan Ras Adiba sebagai menyokong kempen Jom Botak Majlis Kanser Nasional untuk membantu kanak-kanak yang menghidap kanser.
Menurut artikel The Star itu, seorang sumber dari ntv7 mendedahkan bahawa Ras Adiba telah terlebih dahulu berkongsi keputusannya untuk membotakkan rambutnya. Tetapi pihak pengurusan stesen televisyen itu dikatakan telah memberitahunya jika dia membotakkan rambutnya, dia tidak akan dibenarkan membaca berita. Hanya selepas rambutnya tumbuh semula, barulah dia boleh kembali bertugas.
Sebentar tadi, GUA telah menerima satu kenyataan rasmi dari pihak Kumpulan Komunikasi Korporat Media Prima Berhad, sebagai menjawab dakwaan bahawa Ras Adiba telah digantung dari tugasannya.
"Media Prima Berhad hari ini mengumumkan bahawa perbincangan bersama Ras Adiba Mohd Radzi berkaitan penampilan terbarunya sebagai menyokong usaha kempen amal membotakkan rambut masih berjalan.
Kami telah menyokong usahanya dengan memberi liputan berita kepada inisiatif tersebut agar membawa kesedaran di kalangan orang awam. Pada waktu ini, Ras Adiba tidak pernah digantung dari tugasannya sebagai penyampai berita sambilan ntv7.
Media Prima sentiasa menyokong mana-mana usaha menimbulkan kesedaran kanser di seluruh negara."


