Redza Mahu Irma Jadi Bidadari Dunia
“Irma adalah pemberian Allah kepada saya dan dia sangat-sangat istimewa. InsyaAllah, saya akan jaga dia dengan sebaik mungkin,” ujar suami kepada pelakon Irma Hasmie Ibrahim, Redza Syah Azmeer Datuk Mohd Radzuan ketika ditemui selepas majlis akad nikah, petang Jumaat.
Walaupun perkenalan mereka berlaku dalam masa tidak sampai lima bulan, namun ahli perniagaan dalam bidang pengurusan acara dan pengiklanan ini memberitahu yakin dengan keputusannya untuk memperisterikan Irma kerana percaya ini semua takdir dan ketentuan yang telah ditetapkan Allah.
“Cinta saya dengan Irma bermula di tempat yang suci dan hati saya terdetik apabila melihat Irma betul-betul di hadapan pintu Kaabah. Selain itu, perkenalan kami bermula antara Irma dan keluarga, jadi itu yang membuatkan saya terharu. Tidak menjadi masalah dengan perkenalan yang singkat kerana saya yakin dengan apa yang Allah bagi, insyaAllah.”
Ditanya apakah ciri-ciri yang ada pada Irma sehingga membuatkannya tertarik dengan pengacara dan pelakon itu, Redza memberitahu, “Saya sangat selesa dengan dia. Irma seorang yang memahami dan juga penyayang. Saya harap dia akan menjadi bidadari dunia saya serta menjadi isteri yang solehah pada saya dan juga keluarga.
“Alhamdulillah, saya sangat bersyukur kerana apa yang kami idamkan dah pun kecapi. InsyaAllah, saya akan cuba menjadi suami yang soleh dan saya harapkan Irma juga begitu,” ujar Redza mengakui tidak menghalang Irma dari meneruskan kerjayanya dalam bidang seni.
“Saya tak ada masalah, Irma boleh teruskan dengan kerjaya dia dalam bidang seni. Bagi saya, asalkan dia menjaga nama baik keluarga dan tahu tanggungjawab serta batas-batas dia sebagai isteri, itu sudah memadai. Saya juga percaya dia boleh membawa diri dalam industri ini.”


