Remy Ishak Terperangkap Dalam Budi
“Ketika penggambaran filem ini, saya jadi macam psiko kerana perlu ambil mood yang berbeza-beza dalam masa sehari. Misalnya, sebelah pagi saya kena berlakon di era penjajahan Jepun, menjelang tengahari saya kena berada di zaman 1990-an pula. Memang rasa penat sebab kena bermain dengan pelbagai perasaan.
Pada saya, watak Budi cukup mencabar. Bagaimanapun, saya cukup gembira kerana mendapat peluang menjayakan watak ini. ‘29 Februari’ adalah satu nakshah yang harus dibanggakan. Selain tampilkan genre berbeza, ia juga menggunakan format 3D yang julung-julung kali diaplikasikan untuk filem tempatan. Biar pun penat, saya berasa puas,” ujar Remy yang ditemui pada pra-tonton filem terbitan KRU Studios itu pada Selasa.
Selain penat, Remy juga mendedahkan dia gagal melepaskan diri daripada karektor Budi sehingga memaksanya untuk berehat selama sebulan selepas penggambaran tamat.
“Saya pun tidak tahu mengapa sukar meninggalkan watak Budi. Pengaruh Budi amat kuat. Saya terpaksa mengambil masa yang agak lama untuk kembali kepada biasa. Sudahnya, saya mengambil cuti selama sebulan untuk berehat di rumah. Saya terpaksa tolak tawaran berlakon yang datang kerana berasa tidak mampu menjayakannya. Kini saya telah pulih seperti biasa dan sedia terlibat dengan mana-mana produksi yang berminat mendapatkan khidmat saya,” ujar Remy yang turut menyanyi dalam filem arahan Edry Abdul Halim itu.
Mengulas tentang gandingan pertamanya bersama pelakon bukan Melayu, Jojo Goh, Remy memberitahu, dia senang dan kagum dengan komitmen yang ditunjukkan oleh pelakon itu. Baginya, Jojo seorang pelakon yang sangat bagus dan profesional.
“Jojo sangat bagus dan profesional. Walaupun dia ada pengalaman berlakon dengan produksi luar negara, dia tetap merendah diri dan suka bertanya jika ada perkara yang kurang difahami. Selain itu, dia juga mampu bercakap dalam Bahasa Melayu dengan baik. Jadi, saya rasa selesa dan mudah untuk berbincang dengannya. Sepanjang penggambaran, saya dan Jojo dapat berkerjasama dengan baik,” ujar Remy.
’29 Februari’ menyaksikan Remy Ishak menyanyikan tiga buah lagu kesemuanya iaitu Kelip-Kelip, Jagalah Diri dan Seperti Dulu. Kesemua lagu ini adalah ciptaan dan gubahan Edry Abdul Halim.


