Resepsi Kedua Watie & Joey Disaksi Pengunjung Mydin

9 Jul 2012, 12:30am   |     |    Utama > BERITA ARTIS >
Kongsi Article Ini:

Selepas mengadakan majlis resepsi pertama pada 1 Mei lalu, pelakon serta penyanyi, Watie Elite dan suami, Joey Daud diraikan sekali lagi dalam majlis resepsi di Mydin Mall, Subang Jaya, pada malam Sabtu lalu. Pasangan yang bernikah pada 22 Disember 2011 ini diraikan bersempena Festival Kerja Kahwin ke-7 yang berlangsung di pusat membeli-belah tersebut bermula sejak 2 Julai hingga 8 Julai 2012.

Seawal jam 8.00 malam, para pengunjung mula membanjiri kawasan majlis yang diadakan di perkarangan pusat membeli-belah tersebut bagi sama-sama memeriahkan majlis resepsi anjuran Mosyas Diversity Sdn Bhd. Tepat jam 9.25 malam, pasangan mempelai diarak masuk dengan iringan paluan kompang menuju ke pelamin berkonsepkan tradisional kontemporari moden sentuhan Tujuh Aura Impian.

Majlis kemudian diteruskan dengan bacaan doa oleh saudara pengerusi majlis. Anggun dengan persalinan busana tradisional berona emas, pasangan mempelai kemudian dipersembahkan dengan tarian kontemporari oleh Akademi Seni Tari Kirana.

Majlis yang dihadiri lebih 300 orang tetamu ini diserikan lagi dengan upacara merenjis sebelum pasangan suami isteri ini dibawa ke meja beradab bagi menikmati sajian yang disediakan oleh Saleima Catering. Majlis kemudian diteruskan dengan upacara memotong pulut kuning berbentuk hati setinggi tiga tingkat yang disediakan oleh Warisan Bonda.

Kemuncak majlis menyaksikan upacara pecah ais oleh pengantin sebagai simbolik pelancaran ‘Bazar Kerja Kahwin’ sebelum majlis diakhiri dengan sesi fotografi bersama pengunjung. Antara artis yang turut memeriahkan majlis resepsi Watie dan Joey ialah Zamarul Hisyam, Diana Rafar, Nash, Nadia Mustafar, Noraniza Idris, Zarina Zainudin dan ramai lagi.






Cari



JOM JOIN!

Iklan | Tentang Kami | Hubungi Kami
© Gua.com.my 2012 - Hak cipta terpelihara
Sebahagian daripada Alt Media Sdn Berhad