Roslan Shah Akan Saman Pemilik Blog Fitnah Isu Minum Arak

7 Aug 2012, 12:00am   |     |    Utama > BERITA ARTIS >
Kongsi Article Ini:

Perjalanan bergelar anak seni bukanlah sesuatu yang mudah. Seringkali golongan yang digelar selebriti ini dikaitkan dengan pelbagai kontroversi mahupun berita yang disensasikan dek status 'public figure' yang dimiliki mereka. Pengacara dan pelakon, Roslan Shah juga antara yang tidak terkecuali.

Terbaru, nama penghibur kelahiran Singapura itu kembali panas gara-gara penyebaran satu entri dalam sebuah blog yang mendakwa beliau mengambil minuman keras secara terang-terangan di tempat awam.

Blog itu juga turut mendakwa Roslan membeli arak di sebuah kedai serbaneka 24 jam dan kemudiannya minum tanpa segan silu di kedai mamak berdekatan Jalan Genting Klang, Setapak. Terkilan dengan tuduhan tidak berasas tersebut, Roslan tampil membuat penjelasan.

" Artikel ini sebenarnya telah lama ditulis iaitu sejak 11 Mac 2011 namun saya hanya mengetahui mengenainya baru-baru ini. Itu pun setelah peminat dan teman rapat menceritakan kepada saya mengenai perkara ini ", ujar Roslan yang tidak bersedia mendedahkan nama blog tersebut.

" Memang saya terkejut dengan dakwaan ini. Seumur hidup saya dari kecil, tidak pernah saya ambil minuman sebegini. Sejahat-jahat saya, tidak sanggup saya melakukan perkara sedemikian rupa ", ujar Roslan yang masih tertanya apakah motif penulis blog tersebut menyiarkan artikel sebegitu rupa.

" Mereka yang kenal saya tahu saya takkan buat benda-benda macam ini. Lagipun, menurut artikel tulisan blog tersebut, ada pihak lain yang mengadu kepada beliau tentang perkara ini. Saya rasa tindakan penulis blog ini menerbitkan artikel tersebut adalah tidak beretika sama sekali ", tambah Roslan yang tidak menolak kemungkinan cubaan menjatuhkan karier seni beliau.

" Bersempena bulan Ramadhan yang mulia  ini, saya Roslan Shah tidak bercadang mengambil sebarang tindakan terhadap penulis blog ini kerana menghormati bulan baik ini. Cuma saya memberi amaran agar penulis blog ini bertanggungjawab atas tindakannya dengan memadamkan artikel dan entri blog tersebut ".

" Seandainya saya dapati artikel yang sama masih disiarkan selepas Ramadhan nanti, maka saya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pemilik blog berkenaan ".

Roslan juga menyangkal dakwaan kononnya tindakan beliau ini hanyalah untuk meraih publisiti murahan. Menurut Roslan, maruah serta harga diri beliau sebagai seorang selebriti menjadi taruhan.

" Saya kesal kerana hal ini melibatkan reputasi saya selaku seorang anak seni dan sekaligus mencemarkan nama baik saya. Tambahan pula, ibu saya berada dalam keadaan kurang sihat jadi saya tak mahu perkara sebegini mempengaruhi keadaan kesihatan beliau ", jelas Roslan lagi.

Bakal muncul dalam musim terbaru sebuah program realiti lawak popular tempatan, Roslan berharap agar kontroversi ini tidak akan menjejaskan prestasi dan karier seni beliau.

Roslan ditemui pada Majlis Berbuka Puasa Kementerian Perdagangan, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Bersama Media di Hotel Seri Pan Pacific sebentar tadi. Hadir memeriahkan majlis termasuklah menterinya, YB Dato' Sri Ismail Sabri Yaacob, barisan  media elektronik dan cetak serta selebriti tempatan termasuklah Fizz Fairuz dan Tasha Shila.






Cari



JOM JOIN!

Iklan | Tentang Kami | Hubungi Kami
© Gua.com.my 2012 - Hak cipta terpelihara
Sebahagian daripada Alt Media Sdn Berhad