Rutin Ella Berubah Selepas Kahwin

7 Aug 2012, 12:00am   |     |    Utama > BERITA ARTIS >
Kongsi Article Ini:

Ratu Rock popular, Ella mengakui rutin hariannya berubah sejak mendirikan rumahtangga dengan juruterbang, Azhar Ghazali pada 7 Julai lalu. Ditemui ketika rakaman program Mentor Raya, malam tadi, pemilik nama sebenar Norzila Aminuddin ini memberitahu berasa teruja menjalani kehidupannya sekarang sebagai seorang isteri.

“Alhamdulillah, perjalanan rumahtangga kami sehingga kini semuanya baik. Ella sekarang tengah mencuba untuk belajar lebih lagi mengenai hal rumahtangga selain cuba menyesuaikan diri sebagai seorang isteri. Alhamdulilah, proses ini membawa kita menjadi lebih positif dan Ella berasa teruja dengan kehidupan sekarang.”

Bercerita lebih lanjut mengenai rutin hariannya sekarang, pelantun lagu ‘Sembilu’ ini memberitahu, “Sekarang ini, selepas solat Subuh saja Ella dah tak tidur lagi. Jika suami ada, Ella kena siapkan sarapan pagi untuk dia sebelum dia pergi kerja.

“Antara menu yang Ella dah pernah masak untuk suami ialah ‘scrambled egg’, roti bakar, sosej dan salad buah. Syukur suami tak cerewet namun Ella kini harus lebih pandai masak lagi dan kini dalam proses untuk belajar memasak,” ujar mentor kepada Caroline ini.

“Sekarang ini, nak keluar kemana-mana pun kena beritahu suami dulu. Ella juga dah tak boleh fikir tentang diri Ella seorang saja kerana Ella sudah bersuami. Waktu juga dah berubah, di mana Ella kena cuba ikut waktu serta jadual kerja suami. Sebagai isteri, sudah menjadi tanggungjawab untuk Ella memastikan kelengkapan suami diuruskan dengan baik.

“Ella akui proses ini tidak mudah namun Ella masih mencuba dan Ella rasa seronok dengan proses pembelajaran ini. Alhamdulillah, suami banyak bagi semangat dan Ella kini perlahan-lahan cuba untuk menyesuaikan diri dengan kehidupan sekarang.”

Menyentuh mengenai aktiviti Ramadan, penyanyi yang dikenali dengan sifat manja ini memberitahu, “Kebiasaannya Ella tak ambil banyak tawaran persembahan. Bagaimanapun, Ella kini tengah sibuk menyiapkan album kompilasi duet bersama beberapa artis antaranya Kris Dayanti, Hafiz dan Azlan The Typewriter.

“Ella juga gembira kerana dapat sambut Ramadan bersama suami. Kami dapat pergi tarawih dan bersahur bersama-sama. Kami juga menggunakan bulan Ramadan ini untuk berjumpa dengan ahli keluarga serta sanak saudara kedua-dua belah pihak untuk mengenali dengan lebih dekat lagi.

“Mengenai persiapan raya, kami lakukan secara ala kadar saja. Sekarang inipun, kami tengah teruja untuk memilih tema raya pada tahun ini dan Ella sendiri mahukan sesuatu yang berbeza. Aidilfitri ini Ella akan cuti selama dua hari dan setakat ini, kami masih belum pasti untuk beraya di mana lagi.”






Cari



JOM JOIN!

Iklan | Tentang Kami | Hubungi Kami
© Gua.com.my 2012 - Hak cipta terpelihara
Sebahagian daripada Alt Media Sdn Berhad