'Sahabat' Papar Perjalanan Hidup 7 Sekawan

19 Jul 2013, 08:34am   |     |    Utama > BERITA ARTIS >
Kongsi Article Ini:

Zaman remaja memang sungguh mengasyikkan. Setiap daripada kita pernah melalui zaman remaja. Persahabatan, cinta monyet, masalah kecil yang dibesar-besarkan adalah sebahagian daripada perjalanan hidup seorang remaja. Hal itu juga yang dipaparkan dalam drama terbaru terbitan Suhan Movies, ‘Sahabat’.

Diarahkan oleh Imri Nasution, drama 36 episod ini mengetengahkan perjalanan tujuh orang sahabat yang baru tamat sekolah.

Menggunakan muzik sebagai ‘pengikat’ mereka bertujuh, ‘Sahabat’ menjawab persoalan berapa ramai rakan-rakan kita pada zaman persekolahan dulu yang masih kita hubungi sehingga sekarang.

“Dalam drama ini, muzik digunakan sebagai lambang keserasian tujuh sahabat ini. Kerana setiap muzik pasti memiliki tempo. Apabila tempo itu serasi, maka indahlah muzik itu. Maknanya apabila satu persahabatan mempunyai keserasian dan ‘tempo’ yang sama, ia akan menjadi satu hubungan yang sangat bermakna.

‘Sahabat’ juga memaparkan sama ada mereka akan kekal menjadi sahabat atau membawa haluan masing-masing. Saya pasti penonton dapat mengimbau kenangan zaman remaja apabila menonton drama ini,” kata Imri ketika ditemui di lokasi penggambaran Sahabat di Hutan Lipur Kanching baru-baru ini.

Drama ini menampilkan Liyana Jasmay, Izzue Islam, Aedy Ashraf, Syarif Sleeq, Iezah Diyana, Sara Ali dan Shukri Yahaya sebagai teraju utama.

Kata Imri, barisan pelakon ini dipilih kerana kombinasi mereka nampak comel dan mereka mempunyai keserasian yang baik sejak sebelum penggambaran dijalankan.

‘Sahabat’ yang sudah menjalani penggambaran sejak bulan Mei lepas akan disiarkan di saluran Astro Ria (104) tidak lama lagi.

Google Ads
Komen Anda





Cari



JOM JOIN!

Tentang Kami | Terms Of Use
© Gua.com.my 2012 - Hak cipta terpelihara
Sebahagian daripada Alt Media Sdn Berhad