Sami Yusuf Enggan Dilabel Sebagai Penyanyi Nasyid

11 Jul 2012, 12:00am   |     |    Utama > BERITA ARTIS >
Kongsi Article Ini:

“Saya enggan melabelkan muzik saya sebagai nasyid kerana bimbang hanya orang Islam sahaja yang sudi mendengar muzik saya,” kata ‘Islam’s Biggest Rockstar’, Sami Yusuf.

Sami ketika ditemui di majlis sidang media Konsert Salaam Sami Yusuf di Subang Jaya baru-baru ini menegaskan muziknya tidak tertumpu pada agama semata-mata malah lebih kepada mengajak masyarakat untuk bersatu dan hormat-menghormati antara satu sama lain tidak kira bangsa dan agama.

“Saya percaya melalui muzik, masyarakat boleh bersatu. Itu prinsip yang saya pegang dan saya ingin masyarakat berbilang bangsa dan agama akan bersatu melalui lagu-lagu saya,” katanya.

Tambah Sami, dia enggan menggunakan istilah nasyid dalam muziknya kerana ia secara tidak langsung menutup minat orang bukan Islam untuk mendengar muziknya.

“Sekiranya saya melabelkan muzik saya sebagai nasyid, saya pasti orang bukan Islam tidak berminat untuk mendengar muzik saya. Oleh itu, mesej untuk bersatu tidak dapat disampaikan” kata Sami.

Sami yang sudah 10 tahun berkecimpung dalam dunia seni menyatakan amat penting untuk kita bersatu.

“Tidak kira apa pun agama, bangsa dan warna kulit kita, sekiranya kita bersatu, Insya Allah dunia akan lebih aman untuk generasi masa hadapan,” kata Sami.

Sami akan mengadakan konsert pertamanya di tanah air pada Sabtu (14 Julai 2012) di Stadium Melawati Shah Alam.






Cari



JOM JOIN!

Iklan | Tentang Kami | Hubungi Kami
© Gua.com.my 2012 - Hak cipta terpelihara
Sebahagian daripada Alt Media Sdn Berhad