Saya Guna Hak Sebagai Pengarah – Ahmad Idham

6 Jul 2012, 03:24pm   |     |    Utama > BERITA ARTIS >
Kongsi Article Ini:

“Saya ajak kawan-kawan wartawan menonton filem ini bukan kerana ada niat lain, tetapi saya mahu mendapat maklum balas tentang filem ini. Selepas difahamkan pihak penerbit (Metrowealth Pictures) tidak mengadakan prebiu untuk pihak media, saya terpanggil untuk ajak teman-teman media menonton filem ini bersama-sama.

"Kebetulan saya juga belum tonton naskhah akhir filem ini. Sebagai pengarah, saya ada hak untuk berbuat begini. Ini adalah budaya kerja saya setelah sekian lama berada dalam industri ini. Saya bukan buat prebiu filem sebab hari ini saya keluarkan duit sendiri untuk beli tiket. Saya buat begini kerana menghargai pandangan wartawan tentang filem saya. Dalam industri perfileman, saya membesar dengan kritikan dan pandangan pihak media,” ujar Idham mengulas tindakannya mengajak teman-teman media menonton '8 Jam' bersama-samanya malam semalam.

Tambah Idham lagi, dia sememangnya terlalu ingin tahu pandangan pihak media kerana baginya '8 Jam' satu naskhah yang cukup berbeza daripada filem-filemnya terdahulu.

“Hari ini saya sebenarnya mengambil risiko untuk mendapat maklum balas pihak media sama ada positif mahupun negatif. Saya bukan mengharapkan publisiti semata-mata. Selepas tonton filem ini, terpulang kepada pihak media untuk buat penilaian. Walau apa pun pandangan yang diberikan, saya terima dengan hati terbuka.

"Sebagai pengarah, saya cuba bawa '8 Jam' lain daripada yang lain. Itu memang janji saya kepada pihak penerbit untuk filem ke-50 terbitan mereka. Jadi, saya tidak menyangkal kalau pihak berpendapat saya terlalu beria-ia hendak mempromosikan filem ini. Memang saya letakkan harapan tinggi pada '8 Jam'. Saya tidak mahu berdiam diri kerana saya mahu bertanggungjawab kepada naskah saya,” ujar Idham berterus-terang.

Sementara itu, Idham enggan mengulas tindakan pihak penerbit yang mengambil pendekatan tidak mengundang pihak media untuk sesi tayangan yang diadakan untuk peminat-peminat filem keluaran mereka.

“Saya tidak mahu pertikaikan hak penerbit. Sama ada dia mahu menjemput pihak media atau tidak, itu keputusan dia. Sebagai pengarah '8 Jam', saya mahu mainkan peranan sendiri. Jika filem ini berjaya dan meraih kutipan tinggi, keuntungan bukan milik saya. Sebaliknya ia milik penerbit. Tapi saya tidak kisah. Saya dapat ‘nilai’ sebagai seorang pengarah. Itu sudah memadai,” ulas Idham.

'8 Jam' menampilkan Shaheizy Sam dan Yana Samsudin sebagai teraju utama. Filem berkisar kehidupan anak lorong ini penuh dengan aksi dan kini sedang ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 5 Julai 2012. 

Google Ads





Cari



JOM JOIN!

Iklan | Tentang Kami | Hubungi Kami
© Gua.com.my 2012 - Hak cipta terpelihara
Sebahagian daripada Alt Media Sdn Berhad