Saya Kecewa Dan Terkilan! - Zaiton Sameon

10 Oct 2012, 01:11pm   |     |    Utama > BERITA ARTIS >
Kongsi Article Ini:

Sejak terlibat dalam kemalangan jiwa yang meragut nyawa anaknya, Irwan pada 21 Februari 1990, kehidupan glamor penyanyi diva, Zaiton Sameon kini berubah sepenuhnya dan hanya tinggal kenangan. Kesan kemalangan itu, kehidupan pelantun lagu ‘Menaruh Harapan’ ini juga dikatakan terumbang-ambing dan tidak terurus. Lebih memilukan, ada juga yang mengatakan penyanyi popular ini sudah tidak normal.

Malah, dalam filem biografi terbitan Bruang Filem Sdn Bhd, ‘Zaiton Ceritaku’ yang mengangkat kisah diva ini, jalan ceritanya juga turut menggambarkan sisi dirinya yang seolah-olah tidak waras. Sejurus selesai majlis tayangan media filem tersebut yang berlangsung petang semalam, Zaiton telah melahirkan rasa kecewanya kerana dipotretkan seperti itu serta mengakui beberapa babak dalam filem ini adalah tidak tepat.

“Filem ini buat seolah-olah saya macam orang tak betul. Di sini saya ingin tegaskan yang saya masih normal! Saya masih ingat lagi walaupun ingatan saya kadang-kadang kurang baik sikit. Saya terkilan kerana dalam filem ini menunjukkan seolah-olah saya penyebab kematian arwah emak saya padahal saya yang menjaganya selama dua tahun ketika dia sakit diserang strok. Arwah meninggal sebab strok dan bukan saya penyebab dia terjatuh dalam tandas.

“Saya rasa kecewa sebab saya yang jaga dia dan babak menunjukkan saya tak normal pun saya tak suka. Saya tak tahu pasal skrip sebab mereka berjumpa dengan adik saya, Shahril. Babak menyanyi di depan lori durian dan kenduri kahwin orang juga tidak betul. Itu bukan saya kerana mana ‘class’ menyanyi kat tempat-tempat macam itu. Walau bagaimanapun, saya terima perkara ini sebab saya sendiri sudah menandatangani kontrak filem ini walaupun waktu itu, ingatan saya kurang baik,” ujarnya yang mengakui terharu kisah hidupnya di angkat ke layar perak.

“Saya terkejut kerana ada pihak masih mengingati saya dan mahu membuat filem tetang hidup saya. Bila saya menonton filem ini, saya teringat balik kisah lama saya. Saya menangis apabila menonton filem ini. Saya suka filem ini sebab dia tak sentuh sangat pasal keluarga saya.

“Babak yang paling menyentuh hati saya ialah babak arwah anak saya. Jika boleh saya tak nak sebut pasal arwah anak kerana saya agak sensitif dengan perkara ini. Alhamdulillah, saya puas hati dengan hasil filem ini walaupun tidak sepenuhnya. Saya sukakan lakonan Nadia yang sangat bagus. Saya harap filem ini akan sukses dan satu Asia akan tonton filem ini.”

Menyentuh mengenai perkembangan hidupnya sekarang, Zaiton memberitahu, “Saya bahagia dan gembira dengan kehidupan saya sekarang. Saya kini tinggal bersama dengan anak angkat saya. Alhamdulillah, saya juga masih dapat tawaran menyanyi dan sudah siap merakamkan album terbaru.”

Bagi yang ingin mendapatkan album terbaru Zaiton Sameon bolehlah menghubungi Money Entertainment di talian 03-31492427 atau menerusi laman Facebook, shah wahid shah untuk keterangan lanjut. Album berjudul ‘Terimalah Aku’ ini mengandungi sembilan buah lagu antaranya Terimalah Aku, Insan Kecil, Setia Bersama, Saat Teringat, Pergi Selamanya dan Zapin Pinangan. Album ini dijual dengan harga RM19.90.

Jangan ketinggalan juga untuk menonton filem ‘Zaiton Ceritaku’, lakonan Nadia Aqilah, Shahronizam Noor, Arash Mohd, Karl Shafek, Norlia Ghani, Fazlina Ahmad Daud dan Wan Maimunah yang bakal ditayangkan di pawagam bermula 1 November 2012.

Google Ads
Komen Anda





Cari



JOM JOIN!

Tentang Kami | Terms Of Use
© Gua.com.my 2012 - Hak cipta terpelihara
Sebahagian daripada Alt Media Sdn Berhad