Saya Lepaskan Kerana Dia Tak Bahagia - Jalani Sidek
Itu penjelasan Jalani Sidek, 48, apabila diminta mengulas tentang perceraiannya dengan Raja Azmi, 53. Bekas pemain badminton negara ini ditemui selepas Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur meluluskan permohonan perceraiannya pada petang Rabu.
“Mungkin satu tekanan kepada dia (Raja Azmi) apabila semua kontroversi ini timbul. Saya setuju lepaskan dia sebab dia sudah tidak bahagia dengan perkahwinan kami. Demi kegembiraannya, saya setuju dengan permintaannya untuk bercerai. Tidak adil saya ‘simpan’ dia kalau dia tidak bahagia,” ujar Jalani Sidek dalam nada tenang.
Sama seperti Raja Azmi, lelaki ini juga mengakui dia tidak mahu menjadikan perceraian itu sebagai satu permusuhan. Sebaliknya, mahu berkawan baik dengan bekas isterinya itu.
“Saya tidak pernah dendam atau mahu aibkan sesiapa. Perceraian ini adalah persetujuan bersama selepas kami berbincang bersama dan juga dengan anak-anak. Saya terima perkara ini sebagai hikmah. Saya bahagia dengan perceraian ini kerana saya tahu perkara ini boleh menggembirakan dia. Mungkin ini memang jalan terbaik untuk kami memperolehi kegembiraan. Sebagai bekas suami, saya akan anggap Raja Azmi sebagai seorang sahabat. Saya akan sentiasa memberi sokongan kepadanya selepas ini,” ujar Jalani berterus-terang.
Mengulas tentang tuduhan dayus yang dilemparkan kepadanya, bapa kepada tiga orang cahayamata ini memberitahu dia tidak kisah dengan tuduhan orang luar. Jelasnya, sebagai pemimpin keluarga, dia tahu apa yang dilakukannya.
“Orang kata saya dayus mungkin kerana saya seorang yang penyabar. Saya tidak kisah dan boleh terima tuduhan itu kerana saya mengetahui hakikat sebenar. Terpulang kepada orang lain untuk buat penilaian. Saya sudah cuba melakukan yang terbaik untuk perkahwinan kami. Namun perceraian ini terpaksa dilakukan demi kebahagian bersama. Tidak ada desakan daripada mana-mana pihak, mahupun kehadiran orang ketiga,” ulas Jalani.
Dalam prosiding mahkamah pada petang tadi, Jalani melafazkan cerai talak satu terhadap Raja Azmi di hadapan Hakim Syarie, Shaiful Azli Jamaluddin. Mahkamah kemudian memutuskan Jalani dan Raja Azmi bukan lagi suami isteri dan memerintahkan kedua-dua pihak membatalkan sijil nikah masing-masing di Jabatan Agama Islam.


