Saya Tidak Kecewa - Akim
Pelakon utama Horre Horre, Akim Ahmad menyatakan dia tidak kesal dengan sambutan filem itu yang tidak memberangsangkan kerana menurut Akim, pengalaman yang diperolehnya sepanjang pergambaran adalah lebih berharga.
“Saya tak kecewa filem itu tidak mendapat sambutan. Sebaliknya, saya gembira dapat belajar dan timba pengalaman dalam bidang lakonan”, kata Akim ketika ditemui di pelancaran album sulungnya di Restoran No Black Tie, baru-baru ini.
Menurut Akim, dia memberi keutamaan dalam bidang nyanyian. Walau bagaimanapun, dia akan terima sekiranya ada tawaran berlakon.
“Tapi kali ini, saya ingin memilih watak yang bersesuaian dengan saya”, kata Akim.
Tambahnya, sebagai seorang penyanyi, dia tidak bersedia melakonkan watak-watak berat kerana bagi Akim, menjadi pelakon agak susah.
Akim juga menyatakan dia teringin untuk berlakon teater kerana baginya itu tahap tertinggi dalam bidang lakonan.
“Sekiranya ada tawaran dan saya sudah bersedia, saya teringin untuk mengembangkan bakat saya dalam lakonan teater kerana saya percaya berlakon teater memberi banyak cabaran dan pengalaman”, katanya.


