Selebriti Popular Meriahkan Singgah Sahur 2012
Program popular ketika bulan Ramadhan, ‘Singgah Sahur’ kini kembali untuk musim ke-8. Berkonsepkan ‘tangan yang memberi lebih mulia dari tangan yang menerima’, program ini bakal mewarnai kaca televisyen anda bermula 22 Julai 2012, setiap Sabtu dan Ahad, jam 12.35 tengah malam di TV3.
“Pihak kami berasa sangat bersyukur kerana meskipun program ini sudah memasuki tahun ke-8, namun Singgah Sahur tetap mendapat sambutan dan perhatian semua. Singgah Sahur kali ini akan lebih fokus kepada penglibatan secara langsung personaliti dan warga kerja TV3 yang akan turun sendiri ke lokasi, beramah mesra dan mengukuhkan hubungan persaudaraan di antara mereka yang berbeza latar belakang.
“Di samping menghulurkan bantuan kepada yang kurang bernasib baik, kami juga akan menceriakan mereka dengan bersahur bersama-sama,” ujar Ketua Pegawai Operasi, Rangkaian Televisyen, Media Prima Berhad, Encik Ahmad Izham Omar ketika majlis pelancaran program Singgah Sahur 2012, di Sri Pentas TV3, baru-baru ini.
Singgah Sahur 2012 bakal menampilkan barisan hos dari kalangan personaliti TV3 antaranya Ally Iskandar, Fiza Sabjahan, Nurul Syuhada Nurul Ain, Teh Syuhada, Zakiah Anas, Zainal Ariffin Ismail, M. Zulkifli, Irin Putri dan ramai lagi. Selain kehadiran personaliti TV3, Singgah Sahur 2012 turut diserikan lagi dengan pembabitan produk Mamee serta duta jenama Mamee Sllrrp, Shaheizy Sam.
Bagi musim terbaru ini, warga Singgah Sahur akan berkunjung ke pelbagai lokasi terpilih seperti sekitar Selangor, Perlis, Perak, Melaka, Johor dan Pahang untuk menikmati juadah sahur bersama-sama insan yang diraikan di samping berkongsi pengalaman serta kisah hidup mereka.
“Kelainan program Singgah Sahur kali ini ialah ia bukan saja fokus kepada anak yatim dan orang tua saja, malah kepada mereka yang bekerja selama 24 jam. Contohnya kami akan pergi ke Perlis bagi mengetahui bagaimana Pasukan Gerakan Awam yang bertindak menjaga sempadan negara bersahur. Kami juga akan ke Lumut, Perak untuk mengikuti pasukan Marin menangkap nelayan haram dan seterusnya ke Melaka untuk melihat pegawai zoo perhilitan memburu binatang ketika awal pagi.
“Selain itu, kami juga akan melawat ke rumah seniman dan seniwati, Dato’ Aziz Sattar dan Latifah Omar untuk mengetahui keadaan kesihatan mereka. Kami juga akan melawat mangsa kusta, menjenguk remaja-remaja perempuan yang terlibat dengan kes juvana dan juga menjenguk keadaan keluarga mangsa bunuh, adik Dirang,” ujar Penerbit Eksekutif, Puan Siti Hatija Yusof.
Selain itu, sebuah episod khas akan disiarkan pada 12 Ogos 2012 di mana lokasi di Muar, Johor ini akan dimeriahkan dengan kehadiran VIP serta selebriti terkenal tanahair seperti Johan Asari, Aiman Hakim Ridza, Izara Aishah, Dato’ Eizlan Yusof dan juga Shaheizy Sam. Menariknya, dalam episod ini penonton akan disajikan dengan paparan aktiviti tradisional seperti rewang, berbuka puasa, marhaban dan moreh oleh penduduk kampung dan warga kerja terlibat.
Jadi, jangan ketinggalan untuk menonton Singgah Sahur 2012, pada setiap hari Sabtu dan Ahad, jam 12.35 tengah malam di TV3. Manakala siaran ulangan program ini pula pada hari Sabtu dan Ahad, jam 5.30 petang.


