Shaheizy Sam Teruja Rai Ramadan
Kesibukan tuntutan kerja sebagai anak seni membuatkan pelakon popular, Shaheizy Sam kurang meluangkan masa bersama keluarga tercinta. Justeru, sambutan bulan Ramadhan kali ini digunakan sebaik-baiknya oleh beliau untuk menghabiskan masa bersama dengan keluarga selain menjalani aktiviti-aktiviti amal sepanjang bulan mulia ini.
“Sudah beberapa tahun saya terpaksa menjalani penggambaran ketika bulan puasa, namun Alhamdulillah tahun ini saya tidak terikat dengan sebarang tawaran lakonan. Bagi saya, bulan Ramadhan adalah masa untuk saya relaks selain dapat mencuri masa berbuka puasa dengan keluarga. Kalau nak difikirkan kerja, sampai tua pun tak habis,” ujar Bintang Popular ABPBH 2010 ini.
“Selain itu, saya juga tak pernah berpeluang untuk berbuka puasa dengan peminat saya sebelum ini, jadi saya merancang untuk mengadakan satu majlis berbuka puasa khas buat peminat saya. InsyaAllah, majlis untuk 300 tetamu ini akan diadakan pada 11 Ogos depan di bangunan MIG.
“Saya tak mampu untuk mengadakan majlis ini sendiri, namun saya bersyukur kerana saya akan dibantu oleh Admin Fanpage Facebook dan Twitter saya, serta Shaheizy Sam Loyalty Club untuk membantu memilih tetamu yang akan hadir,” ujar Sam ketika ditemui di majlis pelancaran program ‘Singgah Sahur TV3’, baru-baru ini.
Selaku duta ‘Mamee Sllrrrp!’, Sam juga bakal terlibat dalam program ‘Singgah Sahur’ musim ke-8 ini di mana beliau sendiri akan turun padang untuk bersahur bersama individu istimewa serta golongan yang memerlukan.
“Ini kali pertama Sam terlibat dengan program Singgah Sahur. Sebelum ini dah banyak kali Sam menonton program ini dan bila dapat terlibat sama, Sam rasa teruja sangat. InsyaAllah, Sam akan pergi ke Muar, Johor dan Lumut, Perak untuk sama-sama memeriahkan program ini.”
Menyentuh mengenai juadah berbuka puasa kegemarannya, Sam memberitahu, “Saya wajib beli kuih tepung pelita, ikan bakar, cucur udang serta ayam percik di Bazar Ramadhan Taman Melawati,” ujarnya mengakhiri perbualan.


