Sinar Lebaran Farah Asyikin
Kedatangan Syawal kali ini pastinya memberikan kelainan buat penyanyi bersuara lantang, Farah Asyikin. Semestinya, penghijrahan yang dilakukan beliau untuk berhijab tahun ini membawa pengertian berbeza buat pelantun Seribu Penipuan ini dalam meraikan lebaran kali ini. GUA berkesempatan menyelami isi hati Farah sempena kedatangan lebaran kali ini.
“ Farah akui kali ini semuanya jauh berbeza tahun ini. Sebelum ini, Farah tak pernah dapat mendalami penghayatan dan makna Ramadhan itu sendiri. Alhamdulillah, sepanjang Ramadhan kali ini Farah berpeluang menghadiri kelas-kelas agama untuk mendalami ilmu yang memang cukup bernilai. Awal Ramadhan dulu, Farah berpeluang mengikuti ceramah bersama Ustazah Fatima Az-Zahra dan ketika itu beliau bercerita mengenai kemuliaan Ramadhan yang penuh dengan keberkatan “, ujar Farah.
“ Buat kali pertama dalam hidup Farah, tahun ini Farah berpeluang melakukan qiamullail dalam 10 hari terakhir Ramadhan. Kalau boleh Farah nak lakukan setiap hari tapi dek kekangan masa dengan tugas dan sebagainya, Farah bersyukur dengan peluang yang telah Allah berikan “.
“ Jujur Farah katakan, Farah rasa sebak untuk mengetahui Ramadhan sudah pun tiba ke penghujungnya dan Farah tak rasa apa-apa pun raya kali ini. Farah akan menyambut Syawal di Pekan, Pahang terlebih dahulu dan kemudiannya ke Labu, Negeri Sembilan untuk beraya di kampung sebelah emak pula. Persiapan raya tahun ini sederhana sahaja. Farah pun tak beli lagi baju raya “.
GUA juga difahamkan, Farah dalam proses untuk mengehadkan aktiviti nyanyian kepada golongan tertentu sahaja. Tidak bermaksud mengundur diri dari dunia nyanyian, Farah berpendapat batasan yang dilakukan ini bertujuan untuk memelihara dirinya sendiri.
“ Farah tak nak cakap Farah bersara dari dunia nyanyian sebab qada’ dan qadar itu semua ketentuan Tuhan. Cuma apa yang Farah boleh nyatakan, buat masa ini Farah hanya akan menyanyi di hadapan kaum Muslimah dan juga kanak-kanak sahaja. Farah akui banyak tawaran yang Farah terima cuma Farah kena pertimbangkan sama ada ia sesuai atau tidak dengan situasi Farah sekarang “.
Farah juga mula aktif dalam memenuhi undangan ceramah agama. Mengakui, ilmu yang dimiliki masih lagi cetek dan berusaha mendalaminya sedikit demi sedikit, cerita dan pengalaman hijrah beliau diharapkan mampu untuk memberikan input kepada mereka yang mendengarnya.
“ Sebenarnya Farah tak rancang pun untuk terlibat dalam ceramah ini semua. Kebetulan ada pelawaan untuk Farah kongsi kisah Farah dan Farah terima dengan niat untuk berkongsi ilmu. Farah rasa kerdil sangat bila mana Farah berkongsi pentas dengan mereka yang jauh lebih arif dalam bidang agama ini. Apa yang Farah gembira, Farah dapat menambah pengetahuan Farah melalui ilmu yang penceramah lain sampaikan. Itu yang sampai atas pentas pun, Farah akan tetap bawa buku nota untuk catat apa yang patut “.
Dalam masa yang sama, Farah turut berkongsi minat beliau yang suka akan ceramah berbentuk motivasi. Menurut Farah, beliau teruja untuk memberikan motivasi menerusi sudut pandangan Islam.
Mengakhiri temubual bersama GUA, Farah mengambil kesempatan mengucapkan selamat menyambut Hari Raya Aidilfitri buat semua umat Islam. Farah turut berterima kasih kepada semua peminat dan penyokong beliau yang sentiasa mendoakan yang terbaik buatnya dan berharap agar penghijrahannya ini istiqamah dalam meneruskan kehidupannya sebagai seorang khalifah di muka bumi ini. Buat yang ingin mengetahui perkembangan terkini Farah Asyikin, anda semua bolehlah berinteraksi dengan beliau di laman sosial Twitter menerusi TweetHandle, @farahasyikin.


