Sistem Perlindungan Hak Cipta Diperkukuhkan
Demi menjaga kepentingan industri kreatif serta kebajikan penggiat seni tanah air, Kerajaan telah mengotakan janjinya dengan meluluskan pindaan Akta Hak Cipta 1987 di Parlimen pada 22 Disember tahun lalu.
Pindaan tersebut telah diumumkan pada majlis Hari Himpunan Bintang MyIPO KOSMO! 2012 yang berlangsung di Hotel Renaissance, Jalan Ampang, petang semalam. Bertemakan ‘Pertahankan Hak, Kotakan Janji’, majlis tersebut telah disempurnakan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, YB Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob di hadapan lebih 500 para karyawan.
Pada majlis tersebut, Dato’ Sri turut melancarkan peraturan Akta Hak Cipta 1987 di mana tiga peruntukan baru dan penambahbaikan telah dimasukkan ke dalam akta tersebut iaitu Sistem Pemberitahuan Sukarela Hak Cipta, Pendaftaran Badan-Badan Perlesenan dan Penambahbaikan fungsi Tribunal Hak Cipta.
“Sistem Pemberitahuan Secara Sukarela Hak Cipta merupakan satu mekanisme pendaftaran karya hak cipta di mana ia merupakan satu pengkalan data bagi menyenaraikan karya-karya berhakcipta yang telah didaftarkan dan boleh dijadikan sumber rujukan.
“Sistem ini sudah pasti memberi manfaat yang besar kepada semua terutamanya penggiat seni, pemilik karya-karya berhakcipta termasuklah pelaku (Performer). Saya percaya apa yang terhasil adalah untuk manfaat industri kreatif khususnya dalam pengurusan karya-karya berhakcipta melalui dokumentasi yang lebih sistematik setanding dengan negara-negara maju lain,” ujar Dato’ Sri dalam ucapannya, petang semalam.
“Kementerian juga melihat isu royalti dan hak-hak berkaitan hak cipta sebagai satu isu yang berkait rapat dan memerlukan kerjasama serta komitmen daripada semua pihak termasuklah juga persatuan-persatuan artis sendiri dalam memperjuangkan hak mereka. Pendaftaran Badan Perlesenan membolehkan Kerajaan mengawalselia aktiviti dan pengurusan badan-badan perlesenan supaya lebih telus dan bertanggungjawab.”
Tambah beliau lagi, “Badan perlesenan juga diberikan platform untuk merujuk sebarang isu berkaitan hak cipta kepada Tribunal Hak Cipta. Akta Hak Cipta 1987 (Pindaan 2010) turut meminda peruntukan bagi Tribunal Hak Cipta untuk memperluaskan fungsinya bagi mendengar serta membuat keputusan berkaitan pembayaran royalti.
“Dalam hubungan ini, adalah menjadi harapan saya supaya penggiat-penggiat seni tanah air dan pemilik-pemilik karya berhakcipta mengambil daya usaha untuk mendaftarkan karya masing-masing seperti yang diamalkan oleh industri kreatif di Amerika Syarikat, Kanada, Australia dan Korea.”


