Siti Nurhaliza Bersyukur Impiannya Terlaksana

13 Nov 2012, 12:45am   |     |    Utama > BERITA ARTIS >
Kongsi Article Ini:

Bertemu dengan penyanyi nombor satu negara, Dato’ Siti Nurhaliza selepas konsertnya Gambang, Kuantan baru-baru ini GUA sempat menemubual penyanyi itu mengenai konsertnya kali ini.

“Alhamdulillah Siti bersyukur kerana semuanya berjalan dengan lancar apa yang dah dirancang sebelum ini. Siti sangat seronok kerana dapat mengadakan konsert solo pertama di negeri kelahiran Siti dan Siti juga terharu kerana peminat dari Indonesia dan Singapura bersusah payah kerana sanggup datang dari jauh untuk menonton konsert Siti di Kuantan ini.”

“Persembahan Siti di Kuantan adalah untuk mengumpulkan semula ahli keluarga, peminat dan yang istimewanya apabila DYMM Sultan Pahang turut sudi hadir untuk menonton persembahan Siti di sini,” ujar penyanyi tersohor itu.

Ditanya juga mengenai konsep persembahan pada malam tersebut, Siti menjelaskan bahawa konsep pada malam itu merupakan hiburan ringan yang tidak terlalu berat dan lebih kepada santai.

“Konsep yang Siti tonjolkan pada konsert kali ini ialah konsep yang tidak terlalu berat dan lebih kepada santai dan dari segi muzik ada beberapa perubahan pada susunan muzik telah dilakukan dalam lagu-lagu seperti Cindai dan Nirmala supaya ia kelihatan lebih moden dan lebih menghiburkan,” katanya pada kami.

Mengenai lagu-lagu yang disampaikan pada konsertnya kali ini adalah pilihannya sendiri dan juga pihak SNP.

“Pilihan lagu untuk konsert kali ini adalah pilihan Siti sendiri dan juga kak Rozi tetapi keseluruhannya Siti yang pilih lagu mana yang ingin Siti sampaikan.

“Persiapan untuk konsert kali ini adalah selama 3 minggu, dan Siti berbincang dengan Aubrey untuk susunan lagu dan muzik yang mana sesuai dan berpandukan keinginan Siti sendiri. Latihan untuk menari pula hanyalah mengambil masa  selama 4 hari sahaja dan untuk latihan bersama pemuzik mengambil masa selama 2 hari,. Pengarah muzik, Aubrey Suwito sangat membantu dan tahu apa yang saya kehendaki.,” ujarnya pada GUA.

Buat pengetahuan anda dalam konsertnya itu, Siti Nurhaliza turut menyampaikan sebuah ‘single’nya yang terbaru berjudul ‘Galau’ dan lagu tersebut cukup mendayu-dayu sehingga menusuk kalbu hingga membuai perasaan setiap yang menonton persembahannya itu.

“Sebenarnya lagu ‘Galau’ dah lama saya rakamkan dan pencipta untuk lagu ini merupakan seorang komposer dari Indonesia. Buat pertama kalinya saya mempersembahkannya pada konsert di Kuantan ini.” katanya.

Pelantun lagu Biarlah Rahsia itu juga turut gembira dengan sambutan terhadap konsertnya yang pertama yang diadakan di sini.

“Siti bersyukur kerana konsert ini mencapai sasaran dan Siti sangat gembira dengan sambutan peminat-peminat yang sanggup datang ke Bukit Gambang dengan keadaan cuaca sekarang yang tidak menentu. Siti sangat menghargai pengorbanan dan sokongan-sokongan yang telah mereka berikan,” kata penyanyi nombor satu negara itu.

Di kesempatan itu juga Dato’ Siti Nurhaliza sempat mengucapkan jutaan ribuan terima kasih kepada semua peminat dan pihak-pihak yang terlibat dalam menjayakan konsert nya di Kuantan pada kali ini.

Buat peminat-peminat Indonesia, Dato’ Siti Nurhaliza akan mengadakan siri jelajah konsertnya di sekitar bandar di Indonesia yang akan bermula pada 8 sehingga 14 Disember depan.

Lokasi-lokasi yang terpilih antaranya Jakarta, Pekan Baru Sumatera, dan Banjar Baru Kalimantan. Selain itu Siti dijangka akan mengadakan persembahan bersama Amy Search dan Shila Amzah di konsert jelajah tersebut. Kepada peminat-peminat Dato’ Siti Nurhaliza jangan lupa untuk menyaksikannya.

Google Ads
Komen Anda





Cari



JOM JOIN!

Tentang Kami | Terms Of Use
© Gua.com.my 2014 - Hak cipta terpelihara
Sebahagian daripada Alt Media Sdn Berhad (272025-V)