Sketch 12 Himpun Karya Kreatif
Akhir-akhir ini, pentas perfileman negara seringkali dihamparkan dengan karya-karya yang sudah mula lari dari kebiasaan cereka tempatan. Jiwa Taiko dan Bunohan antara karya yang membuka lembaran baru terhadap interpretasi makna ‘filem kita, wajah kita’. Dalam masa yang sama, penghasilan filem pendek juga membantu mengenengahkan isu-isu sosio budaya masyarakat tempatan.
Sebut sahaja beberapa nama seperti Nam Ron, Desmond Ng dan Allahyarhamah Yasmin Ahmad, mereka cukup dikenali dengan karya filem pendek yang mengesankan di hati peminat seni layar tanahair. Mengambil inspirasi dari usaha penggiat seni ini, Fakulti Komunikasi & Pengajian Media Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam menghimpunkan 10 karya filem pendek untuk tatapan orang ramai menerusi ‘Sketch 12’.
‘Skecth 12’ merupakan majlis tayangan filem pendek dan animasi yang diadakan khas untuk orang ramai khususnya peminat seni tempatan Tayangan perdana ini akan diadakan bertempat di kompleks membeli-belah mesra alam, Space U8, Bukit Jelutong, Shah Alam yang juga pernah menjadi lokasi rancangan realiti kreatif, Versus. Tayangan yang akan diadakan pada 22 Jun ini akan membawa penonton menelusuri ceritera 14 karya yang berbeza.
Tayangan secara percuma ini bertujuan untuk menyuburkan seni pembuatan filem khususnya filem pendek di samping memberi peluang kepada orang ramai untuk bersama menghayati makna dan sisi berbeza filem pendek itu sendiri.
Karya-karya termasuk 4 animasi pendek ini adalah hasil nukilan dan cetusan idea para pelajar tahun kedua dan ketiga Ijazah Sarjana Muda Penyiaran, UiTM Shah Alam. Kebanyakan dari karya yang akan ditayangkan membawa penonton menghayati lebih dekat isu-isu sosial dan kemasyarakatan.
Penonton juga akan dihiburkan dengan persembahan istimewa band Julies Goes Overseas selain pelbagai aktiviti sampingan yang akan turut dijalankan sepanjang tayangan. Tayangan akan bermula jam 7.45 malam dan dijangka berakhir jam 10.30.
Buat peminat filem pendek tempatan, marilah bersama-sama memeriahkan Space U8 Jumaat ini. GUA menyokong perkembangan industri perfileman tempatan!


