Soo Wincci Teruja Berpuasa
Teruja menceritakan pengalaman pertamanya berpuasa, satu-satunya peserta berbangsa Cina Masterchef Selebriti, Soo Wincci menyatakan dia tidak mengalami kesukaran sepanjang berpuasa walaupun terpaksa ulang alik dari Malaysia ke Taiwan atas urusan kerja.
Ketika ditemui di majlis berbuka puasa anjuran Astro di Hotel Royale Bintang Damansara, bekas Ratu Cantik Dunia Malaysia ini kelihatan begitu ceria dan bertenaga. Tiada langsung raut wajahnya menunjukkan dia letih berpuasa seharian.
“Pada minggu pertama, memang terasa sedikit susah untuk berpuasa. Tapi dengan sokongan dari peminat dan rakan-rakan, saya mampu mengatasinya. Mereka sering memberi kata-kata semangat seperti ‘bertahan!!’ ketika saya mula mengadu lapar dan letih,” kata Wincci.
Wincci yang baru sahaja melancarkan album mini Melayu pertamanya, sempat memberi tips untuk kekal bertenaga sepanjang berpuasa.
“Waktu sahur saya hanya makan buah kurma dan minum air. Sekiranya saya makan banyak ketika sahur, saya akan berasa lapar pada siang hari. Dan pada waktu berbuka, mulakan dengan memakan makanan yang berkhasiat,” kata Wincci.
Sedang melanjutkan pelajaran ke peringkat PhD, gadis kelahiran Petaling Jaya ini menyatakan dia telah berazam untuk puasa penuh sekiranya terpilih sebagai finalis Masterchef Selebriti.
“Masterchef merupakan batu loncatan bagi saya memperkenalkan diri kepada peminat berbangsa Melayu. Empat tahun saya menjadi selebriti, tiada siapa yang kenal saya. Selepas Masterchef Selebriti, orang mula tegur dan mengenali saya,” katanya.
Wincci yang telah kehilangan berat badan sebanyak 34 kilogram sepanjang berpuasa menyatakan, niatnya untuk berpuasa penuh sebulan kerana ingin mendalami budaya peminatnya yang berbangsa Melayu agar dia dapat merasa lebih dekat dengan mereka.
Kini, Wincci baru sahaja selesai penggambaran untuk telemovie raya ‘Lemang Sebatang’ arahan Azwan Ali.


