Syafiq Kyle Mengaku Berkawan Dengan Tiga Wanita

14 Oct 2013, 12:01pm   |     |    Utama > BERITA ARTIS >
Kongsi Article Ini:

Sebelum ini pelakon yang mula dikenali menerusi drama bersiri ‘Tanah Kubur’, Syafiq Kyle,21 pernah menjelaskan bahawa hubungannya dengan pelakon Jue Aziz hanyalah sekadar teman biasa. Dalam pertemuan dengan GUA baru-baru ini, Shafiq nama sebenarnya, Syafiq Shamim Abdul Razak sekali lagi menegaskan dia hanya berkawan berkawan baik dengan Jue Aziz. Malah, Shafiq tanpa berselindung mengakui berkawan baik dengan dua lagi pelakon wanita yang sedang meningkat naik.

“Saya akui saya berkawan dengan Jue. Tapi saya rasakan hubungan persahabatan saya dengan Jue mendapat perhatian mungkin kerana saya kurang berkawan dengan artis wanita yang lain. Saya juga baik dengan Emma Maembong dan Hanis Zalikha, tapi orang kaitkan saya dengan Jue. Sejujurnya, kami hanya berkawan sahaja,” jelas Syafiq ketika ditemui usai rakaman program hiburan terbaru siaran TV3, Liga Lawak Superstar di Studio Merdeka FINAS, Hulu Kelang pada Ahad.

Pemenang tempat kedua Hero Remaja 2012 ini juga mengulas mengenai dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan dia lebih menyerlah daripada Juara Hero Remaja 2012 sendiri, Fattah Amin.

“Saya tak pandang ke arah menyerlah ataupun tidak. Saya rasakan semuanya adalah rezeki. Mungkin pengalaman saya yang lebih dulu menceburi bidang lakonan sebelum pertandingan Hero Remaja membuatkan saya dikenali. Kini Fattah juga aktif dalam bidang lakonan. Kami masing-masing sering 'update' mengenai perkembangan terbaru kami,” kata Syafiq lagi.

Mengulas mengenai penglibatannya sebagai salah seorang pendatang baru dalam Liga Lawak Superstar untuk bersaing di samping pelakon-pelakon senior yang lain, Syafiq menganggap peluang yang datang digunakan sebagai platform untuknya dalam mendapatkan pengalaman daripada pelakon-pelakon berpengalaman.

“Mulanya saya terfikir, tak terlalu cepat ke untuk saya sertai pertandingan sebegini di samping barisan pelakon yang telah terlebih dulu melakar nama dalam bidang lakonan? Namun begitu, saya pandang perkara itu pada suatu sudut positif. Peluang menyertai program ini boleh saya gunakan sebaik mungkin untuk menimba pengalaman dari pelakon-pelakon senior lain seperti Afdlin Shauki, Didie Alias, Fizz Fairuz dan ramai lagi,” tutur Syafiq lagi.

Dalam perkembangan lain, drama lakonan Syafiq, ‘Kampungku dan Aidiladha’ bersama Zalif Sidek dan Fida Ibrahim bakal ditayangkan di TV3 sempena sambutan Aidiladha ini. Selain itu, Syafiq kini sedang giat menjalani penggambaran drama bersiri 26 episod untuk siaran RTM yang bertajuk ‘Angin Syurga’. Drama bersiri tersebut bakal menggandingkan Syafiq dengan Leez Rosli, Bil Azali, Jue Aziz dan Fauziah Nawi.

Google Ads
Komen Anda





Cari



JOM JOIN!

Tentang Kami | Terms Of Use
© Gua.com.my 2014 - Hak cipta terpelihara
Sebahagian daripada Alt Media Sdn Berhad (272025-V)