TV9 Sasarkan Golongan Muda Untuk Program Ramadan Tahun Ini
Hujung minggu ini, umat Islam di seluruh dunia akan memulakan ibadah puasa. Sempena kedatangan bulan Ramadan tahun ini, TV9 (Saluran 119) akan menyajikan barisan program menarik berbentuk ilmiah, teladan dan keinsafan sesuai dengan tema TV9 tahun ini iaitu ‘Ramadan Kita’. Tema ini dipilih supaya kita dapat memanfaatkan bulan Ramadan bulan yang mulia ini dengan amal ibadat dan kebaikan.
Dalam sidang media pelancaran program Ramadan itu baru-baru ini, Pengurus Besar TV9, Cik Sherina Nordin memberitahu, tahun ini TV9 mensasarkan golongan muda untuk program-program yang diterbitkan. Ini kerana kajian mendapati golongan muda kini juga mahukan program-program berbentuk kerohanian.
“Program-program berbentuk kerohanian dan ilmiah ini bukan sahaja digemari oleh golongan dewasa, tetapi trend sekarang ini mendapati golongan muda juga mahukan program-program kerohanian untuk santapan jiwa mereka. Saya tidak menolak gaya hidup penuh tekanan menyumbang kepada permintaan program-program sebegini. Penonton mahukan program yang boleh menenangkan fikiran dan jiwa mereka.
Jadi, untuk Ramadan tahun ini, kami sasarkan golongan muda untuk program-program terbitan TV9. Selain memenuhi selera penonton, kami di TV9 juga mahu mengajak umat Islam untuk sama-sama menghayati kemuliaan dan kebesaran bulan Ramadan. Mudah-mudahan apa yang dipaparkan mendatangkan kebaikan kepada semua pihak,” ujar Sherina.
Pada tahun ini, TV9 telah menerbitkan tiga program baru yang istimewa khusus buat penonton setianya. Tiga program tersebut ialah ‘Umrah Kita’ yang menampilkan tiga sahabat baik iaitu Aizat, Altimet dan Noh ’Hujan’ mengerjakan umrah bersama-sama dan memberi semangat kepada golongan remaja untuk menjalani ibadah umrah di usia muda. Bagi memberi semangat kepada golongan muda ini, peraduan diadakan dan hadiah menarik adalah 2 pakej umrah untuk setiap pemenang!
Program kedua ialah ‘Al-Quran Menjawab Bersama Dr. Danial Zainal Abidin’, dan program ketiga ialah kapsul istimewa sempena Ramadan yang diberi nama ‘Penawar Sanubari Bersama Ashraf Muslim’. Menerusi program ini Ashraf akan berkongsi pelbagai bacaan doa yang dapat memberi manfaat kepada kita semua.
Lain-lain program adalah program ’trademark’ atau ’signature’ kepada TV9 iaitu ‘Tanyalah Ustaz’, ‘Tanyalah Ustazah’, ‘Mencari Resipi Temurun’ (musim kedua), ‘Jom Berbuka’ dan siaran langsung Solat Terawikh dari Masjidil Haram.
Pastikan anda tidak ketinggalan menonton program-program yang telah disediakan oleh TV9 sepanjang bulan Ramadan ini. Semoga bulan mulia ini mampu membangkitkan kesedaran kita untuk meningkatkan amal ibadat menuju ke arah keredhaan Allah SWT.


