Tanda Putera Disunting Hampir 30 Peratus Daripada Versi Asal
Filem terbaru terbitan Pesona Pictures, Tanda Putera disunting hampir 30 peratus dari versi asal filem tersebut.
Filem arahan Datin Paduka Shuhaimi Baba itu mengisahkan persahabatan akrab Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak dan Timbalannya, Tun Dr. Ismail yang terpaksa berahsia dan mengenepikan masalah kesihatan masing-masing bagi memulihkan keadaan negara selepas terjadinya peristiwa hitam 13 Mei 1969.
“Hampir 30% daripada filem ini disunting setelah ditonton oleh pelbagai pihak dalam sesi kumpulan tumpuan “focus group” yang telah kita adakan.” ulas pengarah filem tersebut.
Jelas Shuhaimi lagi, suntingan itu perlu dilakukan kerana filem tersebut memaparkan adegan yang membabitkan isu sensitif, peristiwa 13 Mei 1969.
“Adegan-adegan ganas yang menyentuh sensitiviti yang melibatkan peristiwa tersebut terpaksa disunting setelah kami menerima pandangan pelbagai pihak yang telah menonton filem ini dalam sesi kumpulan tumpuan yang telah diadakan.”
“Mereka yang terlibat terdiri daripada pelbagai pihak termasuk pelbagai bangsa dan latar belakang untuk memberikan pandangan mereka sama ada adegan-adegan tersebut sesuai ditayangkan atau pun tidak.” tambah Shuhami lagi yang ditemui sewaktu sesi "focus group" keempat filem itu.

Filem yang ditunjangi oleh Rusdi Ramli (Tun Abdul Razak) dan Zizan Nin (Tun Dr. Ismail) itu bakal ditayangkan mulai 13 September depan.
Namun, berdasarkan suasana politik negara masa kini, besar kemungkinan Pilihanraya Umum ke 13 bakal berlangsung pada bulan tersebut.
Antara pandangan yang diterima termasuk kesesuaian filem itu ditayangkan pada musim pilihanraya dalam suasana politik masa kini.
“Kami akur sekiranya tarikh tayangan filem ini dianjak jika berlangsungnya pilihanraya pada bulan tersebut. Namun buat masa kini, kita sendiri pun tidak pasti bilakah tarikh pilihanraya akan diadakan.” ujar pengarah yang pernah mengarahkan filem Hati Malaya dan Layar Lara itu.
Berlatarkan tahun 1970an, filem Tanda Putera turut dibintangi Faezah Elai (Toh Puan Rahah), Linda Hashim (Toh Puan Norasyikin), Kamarulzaman Taib (Tunku Abdul Rahman), Hasnul Rahmat (Tun Hussein Onn), Norman Hakim (Ketua Polis Negara, Hanif Omar), Sahee Shamsuddin (Najib Razak), Razif Hashim (Johari Razak), Nazril Idrus (Mahathir Mohamad) dan ramai lagi.


