The Conjuring Buat Bulu Roma Meremang

3 Aug 2013, 11:41am   |     |    Utama > BERITA ARTIS >
Kongsi Article Ini:

Filem ‘The Conjuring’ merupakan filem ketujuh arahan James Wan. James Wan merupakan salah seorang pengarah yang cukup terkenal dengan kepakarannya dalam mengarahkan filem-filem genre seram seperti  ‘Saw’, ‘Dead Silence’, ‘Death Sentence’ dan ‘Insidious’.

‘The Conjuring’ merupakan filem yang mengangkat tema seram, suspen dan ‘thriller’ yang jalan ceritanya dikatakan diangkat dari kisah sebenar kehidupan sebuah keluarga yang mengambil latar masa pada tahun 1970-an.

Filem yang sedang ditayangkan di pawagam ini  menampilkan pelakon handalan seperti Patrick Wilson, Vera Farmiga, Mackenzie Foy, Joey King, Lilli Taylor dan Ron Livingston. Oleh kerana filem ini diambil dari kisah sebenar, filem ini nyata memberi impak yang cukup menyeramkan kepada penonton.

‘The Conjuring’ berkisarkan mengenai pasangan suami isteri, Ed Warren dan Lorraine Warren, lakonan Patrick Wilson dan Vera Farmiga yang bekerja sebagai penyiasat paranormal dan diberi jolokan sebagai ‘The Warrens’. Mereka telah dipanggil untuk memberi bantuan kepada sebuah keluarga, Roger Perron dan Carolyn Perron (lakonan Ron Livingston dan Lili Taylor) bersama lima orang anak perempuan mereka yang diganggu oleh hantu di sebuah rumah ladang yang sangat terpencil di Harrisville, Rhode Island.

Ketika ‘The Warrens’ membuat penyelidikan mengenai rumah tersebut, mereka dapat membongkar yang sebenarnya rumah itu pernah didiami oleh seorang ahli sihir, Bathsheba (lakonan Joseph Bishara) yang membunuh diri sendiri selepas satu kejadian yang mengerikan. Mereka juga mendapati yang banyak kes pembunuhan yang berlaku di kediaman itu semenjak rumah itu dibina.

Ketika ‘The Warrens’ ingin merungkai semua kisah misteri yang berlaku kepada keluarga Perron, disitulah terjadinya kisah seram dan juga misteri terhadap keluarga Perron dan ‘The Warrens’ sendiri. Kes rumah misteri keluarga Perron ini merupakan kes yang paling sukar untuk ditangani oleh ‘The Warrens’ sepanjang penglibatan mereka sebagai penyiasat paranormal.

Filem ini sememangnya sebuah filem seram yang terbaik yang dihasilkan pada tahun ini. Di awal permulaan cerita lagi, penonton telah disajikan dengan garapan seram dan suspen yang membuatkan bulu roma berdiri tegak kerana ketakutan.

Filem : The Conjuring

Dibintangi oleh : Patrick Wilson, Vera Farmiga, Mackenzie Foy, Joey King, Lilli Taylor, dan Ron Livingston

Genre :  Suspen, Seram & Thriller

Info :  Pengarah filem ‘The Conjuring’, James Wan berasal dari Kuching, Sarawak dan dibesarkan di Australia dan terkenal dengan kepakarannya dalam menghasilkan filem-filem seram. Filem ini mula menjalani penggambaran pada bulan Februari tahun lalu.

Rating : 4.5/5

Google Ads
Komen Anda





Cari



JOM JOIN!

Tentang Kami | Terms Of Use
© Gua.com.my 2014 - Hak cipta terpelihara
Sebahagian daripada Alt Media Sdn Berhad (272025-V)