Wings Beraksi Hebat

27 Apr 2013, 12:47pm   |     |    Utama > BERITA ARTIS >
Kongsi Article Ini:

Mantap, bertenaga namun relaks dan santai sudah cukup menggambarkan suasana di Panggung Sari, Istana Budaya apabila kumpulan rock legenda Wings beraksi di pentas berprestij itu untuk kali kedua sempena konsert Wings Rockestra.

Diiringi seramai 43 ahli Orkestra Simfoni Kebangsaan, kumpulan Wings yang dianggotai oleh Awie, Joe, Black dan Eddy mendendangkan sebanyak 20 buah lagu yang jarang dimainkan di konsert-konsert biasa. Pemilihan lagu kali ini lebih santai dan ia memang sengaja dipilih untuk penonton yang duduk.

“Memang peminat sering meminta lagu-lagu evergreen yang kebiasaannya dimainkan di konsert-konsert biasa. Kali ini, kami memang sengaja memilih lagu-lagu yang jarang dimainkan di konsert-konsert tersebut. Tambahan pula, lagu-lagu ini lebih sesuai dimainkan bersama orkestra”, kata pemain gitar Wings, Joe yang juga selaku pengarah dan penggubah muzik untuk konsert kali ini.

Antara lagu-lagu yang dipersembahkan adalah Bujang Senang, Alam Barzakh, Taman Rasyidah Utama, Kota Kemusnahan dan lagu yang pasti menjadi permintaan nombor satu peminat, Sejati.

Walau bagaimanapun, menurut vokalis Wings, Awie, dia lebih berpuas hati dengan persembahan lagu Harapan dan Dari Tuhan kerana sudah lama tidak menyanyikan dua lagu tersebut.

“Lagu Harapan dan Dari Tuhan merupakan lagu dari album terawal kami. Sudah lebih 20 tahun saya tidak menyanyikan lagu tersebut. Jadi bila dapat persembahkannya di konsert Rockestra ini, ia betul-betul mengimbau kenangan. Lebih-lebih lagi apabila peminat menyanyi bersama”, kata Awie.

Turut menampilkan pemain gitar yang cukup berpengalaman, Hillary Ang dan seorang legenda rock Indonesia, Ian Antono yang merupakan pemain gitar bagi kumpulan God Bless, kedua mereka digandingkan dengan Joe menerusi segmen Ilusi Intonasi 3G.

Kehebatan ketiga mereka mampu membuat penonton meremang bulu roma dengan petikan gitar yang sungguh memukau.

Konsert yang mengambil masa 3 jam ini pasti mampu mengimbau kenangan zaman kegemilangan rock sekitar tahun 80-an. Bagi mereka yang merupakan peminat setia Wings sejak awal kemunculan mereka, anda tidak harus melepaskan peluang untuk melihat kumpulan legenda ini beraksi.

Konsert Wings Rockestra ini sudah mula menemui peminat bermula 26, 27, 28, dan 30 April ini. Tiket berharga RM69 hingga RM199 sudah pun habis dijual. Walau bagaimanapun, anda masih boleh dapatkan tiket berharga  RM200 hingga RM499 menerusi www.ticket2u.biz.

 

Google Ads
Komen Anda





Cari



JOM JOIN!

Tentang Kami | Terms Of Use
© Gua.com.my 2012 - Hak cipta terpelihara
Sebahagian daripada Alt Media Sdn Berhad