Yasmin How You Know? Terasa Semakin Dekat Denganmu
Tiga tahun setelah pemergiannya, pengarah filem tersohor Yasmin Ahmad terus dikenang dalam pelbagai cara. Terbaru, “Yasmin How You Know?”, sebuah buku yang menghimpunkan kutipan-kutipan kata, puisi dan pandangan rakan sekerja dan teman industri Yasmin sendiri diterbitkan oleh Leo Burnett Kuala Lumpur.
Buku yang seakan tidak sempurna itu mengandungi 192 halaman yang mencoret rasa hati kaum keluarganya, teman sekerjanya, rakan-rakan industri pengiklanan terutamanya serta mereka yang pernah singgah dalam kehidupan Yasmin.
Kenapa saya katakan buku yang seakan tidak sempurna ini adalah kerana kerja kreatif penerbitnya, Leo Burnett KL. Buku tersebut tidak rosak, walaupun kelihatan seperti terkoyak kulit depannya. Ia memang disengajakan dengan harapan kesempurnaan itu akan diperolehi setelah membaca buku tersebut.
Tajuk How You Know? sahaja sudah cukup kreatif pada saya sekurang-kurangnya. Ayat tersebut sering digunakan Yasmin untuk menghentikan perbualan yang membosankan, terlalu panjang, terlalu serius, terlalu dibuat-buat dan sukar untuk diselesaikan.
Buku ini mengandungi pesan-pesan yang ditinggalkan Yasmin secara tidak sedar dalam perbualan sehariannya, baik menerusi blog miliknya atau kadang-kala secara berjenaka meliputi pelbagai topik tentang industri pengiklanan, kemahiran ucapan umum, sedikit mengenai klien, banyak mengenai rasa cinta dan yang paling hebat mengenai Tuhan.
Saya membeli buku ini pada 19 Julai lalu di Kinokuniya KLCC setelah selesai pertemuan bersama Lorna Tee dan pasukannya untuk penganjuran sebuah festival filem antarabangsa yang akan diadakan di Kuala Lumpur tidak lama lagi.
Saya tidak perlu menunggu terlalu lama untuk menghabiskannya. Malam 19 Julai dan keesokannya saya luangkan untuk membaca setiap halaman dan cuba untuk mencuri pengalaman tersebut daripada mereka yang berkongsi rasa yang sama.

Bagi yang mengenali Yasmin secara rapat, SMS yang sering dihantar olehnya ketika tubuh sedang dibuai mimpi merupakan antara kenangan yang akan terus disimpan dalam hati. Setiap SMS pasti diakhiri dengan ucapan “Alhamdulillah”.
Manakala kongsi Eugene Yong, teman dan rakan setugas Yasmin mengenai kesempurnaan, “It is perfect to be imperfect, because perfection is made up of many imperfections put together that makes it perfect.”
Paling melucukan apabila terbaca cerita yang dikongsi oleh Affandi dari Mirage Post. Affandi merupakan penyunting filem kegemaran Yasmin. Affandi menceritakan semula bagaimana mereka cuba menyusun dan menyesuaikan saiz font untuk subtitle.
Yasmin hanya berkata, “Eh mangkuk! Subtitle ni bukan buat menang award la. Make it big lah, so people can read. Kecik-kecik tan nak mampus, dah besar menyusahkan orang.”
Dalam keadaan tertentu, pengarah itu turut berkongsi rasa sedihnya apabila filem-filemnya menerima kritikan negatif. Bagi penulis, saya memilih untuk terus mengingatinya apabila kami bercerita tentang filem kegemaran saya, Gubra.
Yasmin : “SM, dia suka Gubra. Dia suka yang dark. Pelik kan?”
SM : “Mana ada, I suka yang fair lah!”
Yasmin : “Ahhh! Good taste!”
Segala rasa dan perasaan itu dikongsi oleh pelbagai insan terdekat dengan Yasmin dalam buku ini membuatkan kita yang membaca terasa semakin dekat dengannya walaupun kita sedia maklum yang Yasmin kini semakin jauh dari kita.
Buku “Yasmin How You Know?” berharga RM35 dan boleh dibeli di took-toko buku terpilih. Keuntungan dari penjualan buku tersebut akan didermakan kepada badan amal kegemaran Yasmin sendiri iaitu Mercy Malaysia.
Allahyarham Yasmin Ahmad, pengarah filem Sepet, Gubra, Mukhsin, Muallaf dan Talentime itu menghembuskan nafas terakhirnya pada 25 Julai 2009 di Hospital Pakar Damansara dan selamat dikebumikan pada 26 Julai 2009 di Tanah Perkuburan USJ 22.
Al-Fatihah!


