Zaiton Sameon Adakan Konsert Selepas 22 Tahun Kemalangan

22 Mar 2012, 01:04pm   |     |    Utama > BERITA ARTIS >
Kongsi Article Ini:

Selepas terselamat dalam sebuah kemalangan ngeri yang mengakibatkan kematian anaknya pada tahun 1990, penyanyi terkenal era 80-an, Zaiton Sameon kini bakal muncul membuat persembahan di Konsert Amal Tabung Kebajikan Zaiton Sameon yang bakal diadakan di Dataran Sungai Kerang, Pantai Remis, Perak pada 7 April 2012, jam 8.30malam.

Konsert percuma tersebut dianjurkan oleh Persatuan Karyawan bagi membantu nasib pelantun lagu ‘Kabut Serangkai Mawar’ itu yang hilang punca pendapatan selepas ditimpa kemalangan. Antara artis yang turut membantu mengadakan persembahan ialah Ali Terrarosa, Bagio Damasutra dan ramai lagi.

“Terima kasih kepada semua kerana sudi mengadakan konsert amal ini. Ini konsert pertama saya selepas 22 tahun ditimpa kemalangan di Kuala Ketil, Kedah pada 21 Februari 1990. Saya teruja sangat walaupun saya hanya artis jemputan,” ujar Zaiton ketika ditemui pada sidang akhbar konsert tersebut, petang semalam.

“Sebelum ini orang tak yakin saya boleh menyanyi lagi selepas ditimpa kemalangan. Saya hanya buat persembahan di kenduri kahwin dengan menerima bayaran sebanyak RM100 hingga RM200 saja dari pagi sampai malam. Itu pun hanya dua bulan sekali. Bila mereka nak buat konsert ini, semangat saya kuat kembali.

“Saya kini sedang buat persiapan dari segi penghafalan lirik. InsyaAllah, saya boleh ingat lirik dan boleh menyanyi walaupun keadaan saya begini. Pada konsert itu nanti, saya akan menyanyikan lebih kurang 10 buah lagu berselang-seli dengan penyanyi lain.

“Antara lagu yang akan disampaikan ialah lagu popular saya, ‘Menaruh Harapan’, ‘Kabut Serangkai Mawar’, ‘Hound Dog’ nyanyian Elvis Presley, ‘Black Magic Women’ (Santana), My Way (Frank Sinatra), Perigi Biru dan Siti Payung,” ujar Zaiton yang  turut membuat permintaan untuk berduet dengan Freddie menyanyikan lagu ‘Namunku Punya Hati’.”

“Selain konsert, saya juga akan keluar dengan sebuah single baru berjudul, ‘Bersamamu’, di mana liriknya ditulis oleh Zamani Zaff manakala lagunya digubah oleh komposer, Eddie Hamid. Single itu masih dalam proses dan dijangka keluar dalam masa dua bulan lagi. Saya berharap dalam keadaan saya macam ini, peminat akan tolong bagi sokongan kepada saya.”

Bagi peminat setia atau para dermawan yang ingin membantu Zaiton, anda boleh menderma terus ke akaun peribadi atas nama Zaiton binti Sameon di akaun Bank Simpanan Nasional 14192-41-00003343-0.

Google Ads


Komen Anda





Cari



JOM JOIN!

Tentang Kami | Terms Of Use
© Gua.com.my 2014 - Hak cipta terpelihara
Sebahagian daripada Alt Media Sdn Berhad (272025-V)