Zul Ariffin Tidak Terkejut Dengan Perubahan Abby
Mantan teman lelaki Abby Abadi, Zul Ariffin, memberitahu dia sebenarnya tidak terkejut dengan tindakan Abby yang sangat lantang melontarkan pandangan. Jelas Zul, Abby yang dikenalinya memang seorang yang berani menyuarakan pendapat jika percaya dengan sesuatu isu.
“Sebenarnya saya tidak berapa tahu tentang penglibatan Abby dalam parti politik ini. Terdengar orang bercerita sahaja. Tapi saya tahu dia sudah memakai tudung sebab dia banyak memuat naik gambarnya di laman sosial Facebook dan Twitter. Kalau mahu saya komen tentang kelantangannya menyuarakan pendapat, saya rasa itu bukan satu perkara yang memeranjatkan. Abby memang begitu. Dia berani suarakan pendapat. Cuma saya tidak sangka pula dia ingin membabitkan diri dalam bidang politik. Ketika kami berkawan dulu, dia tidak pernah pula sebut tentang itu,” ujar Zul yang ditemui ketika majlis berbuka anjuran Astro Shaw dan Tayangan Unggul pada Selasa.
Dalam masa yang sama, jejaka berusia 26 tahun ini juga menyatakan dia percaya Abby tahu yang terbaik untuk dirinya. Namun, kurang bersetuju dengan pandangan Abby tentang masa depan industri hiburan di bawah pentadbiran pucuk pimpinan sekarang ini.
“Susah juga hendak komen tentang perkara ini. Masing-masing pasti punya pendapat sendiri. Namun, saya kurang bersetuju apabila Abby kata artis bertudung seperti dia pasti susah hendak mendapat tawaran berlakon andai pucuk pimpinan sekarang masih menerajui pentadbiran negara. Ini kerana saya lihat ramai artis bertudung sekarang ini masih mendapat tempat di dalam industri. Mereka ditawarkan watak yang bersesuaian dengan personaliti mereka. Jika dilihat dalam konteks yang lebih besar, rasanya kerajaan sekarang ini tidak pernah mengabaikan golongan bertudung. Mereka mendapat peluang pekerjaan yang sama seperti orang lain. Mungkin lebih baik jika Abby tidak mencampurkan urusan politik dengan industri hiburan,” ujar Zul lagi.
Bagi yang masih tidak jelas tentang isu yang dicetuskan oleh Abby, ingin GUA maklumkan bahawa baru-baru ini Abby Abadi telah menggemparkan dunia selebriti apabila memberikan kenyataan di laman sosial miliknya bahawa dia hanya akan kembali berkarya selepas kerajaan Barisan Nasional (BN) ditumbangkan dalam Pilihanraya Umum ke 13. Jelas ahli baru PAS itu, dia lebih yakin dengan PAS yang menurutnya akan memerintah dengan berlandaskan Al-Quran dan Sunnah.
Kenyataan Abby Abadi itu bagaimanapun mendapat maklum balas yang pelbagai daripada golongan artis dan penggiat industri hiburan. Malah, isu ini mengundang perang Twitter di antara Abby dan Datin Paduka Umie Aida yang tidak setuju sama sekali dengan pandangan Abby. Sementara Daphne Iking berpendapat Abby berhak dengan pandangan politik dan agamanya.


