Bicara Cinta DJ Lin: Meneka Dalam Kesamaran
Salam Suria Cinta.. Persona Cinta Anda..
Lin ingin berkongsi bicara tentang isu meneka dalam kesamaran. Lin mengucapkan selamat datang ke alam cinta buat anda yang baru saja bertemu dengan seseorang.
Lin percaya di kala ini anda sedang mendakap bahagia kerana ada insan yang mengambil berat terhadap diri anda. Namun berkemungkinan, bagi yang baru je memulakan talian cinta, apa yang dapat dirasakan adalah kehangatan perasaan terhadapnya. Rasa rindu kian menebal di jiwa, kalau boleh ingin si dia selalu ada disamping kita.
Tetapi bagi yang telah lama menjalinkan hubungan hingga mencecah usia bertahun-tahun, pasti kita sudah boleh menduga kondisi perhubungan itu dari aspek reaksi serta tingkah si dia. Contohnya, kalau ada yang tak kena, muka si dia akan masam mencuka, diam membatukan diri tanpa sebarang kata dan langsung tiada mood untuk meluangkan masa bersama.
Lebih sakit lagi, apabila melihatkan perangai si dia berubah dari sebelumnya, dari seorang pengasih kepada pemarah. Kalau dulu selalu mengirimkan SMS atau menelefon, tapi sejak kebelakangan ini tidak lagi. Kalau dulu selalu luangkan masa untuk bersama kita biarpun dalam kesibukan, namun kini, tiada lagi pertemuan dan pelbagai alasan yang diberikan.
Selalunya, apabila situasi seumpama ini berlaku, ada yang terus serkap jarang mengatakan si dia pasti dah ada kekasih lain. Sebab itu tidak lagi menghiraukan kita malah ada yang terus minta putuskan hubungan kerana bengang dengan tindakan pasangan yang tiba-tiba berubah tingkah.
Dalam situasi sebegini, usahlah kita meneka dalam kesamaran kerana cara itu hanya akan mengundang konflik yang lebih besar serta merugikan diri kita sendiri kerana membuat keputusan drastik. Disebabkan amarah yang membara di hati tanpa adanya ruang untuk berdiskusi, bertentang mata dengan si dia dan cuba minta si dia jelaskan apakah yang sebenarnya terjadi hingga sikapnya berubah sedemikian rupa.
Berusaha untuk pergi berjumpa dengan si dia dan cari ruang yang selesa dan tenang dan luahkan apa yang anda rasa. Daripada penjelasannya itu nanti barulah anda boleh membuat tindakan selanjutnya.
Renungkanlah.. Lin akan kembali lagi temankan anda menerusi episod Bicara Cinta yang akan datang. Bersama kita mendekati dunia cinta sebenar.
Berusaha untuk menjadi pasangan terbaik di kalangan yang baik dan jangan sekali-kali kita lupa dari mana asal usul kita..
Dengarkan Rancangan Suria Cinta - Persona Cinta Anda yang ke udara di Suria FM, setiap Ahad - Jumaat, bermula 11 malam hingga 2 pagi. Cari Lin di fan page FB di dj lin suria cinta suria fm, juga boleh follow Lin di Twitter @ djlinsuriacinta. Jumpa lagi..


