Ramadhan Di Hatiku TV9

3 Aug 2011, 12:00am   |     |    Utama > BERITA ARTIS >
Kongsi Article Ini:

Selain drama dan program ilmiah untuk si cilik, TV9 menerusi tagline, ‘Ramadhan Di Hatiku’ tidak ketinggalan menyediakan program berbentuk keagamaan serta program masakan untuk tatapan penonton setianya. Berikut merupakan senarai program yang akan disiarkan sepanjang Ramadhan ini.

 

Solat Isya’ & Tarawikh dari Masjidil Haram, Mekah

(setiap hari, 1.00 pagi hingga 3.00 pagi)

 

Sepanjang bulan Ramadan yang mulia ini, TV9 akan menyiarkan siaran langsung Solat Isya’ & Tarawih Masjidilharam, Mekah pada jam 1.00 pagi hingga 3.00 pagi dari Masjidilharam.

 

Sesungguhnya terlalu banyak fadhilat yang diberikan kepada sesiapa sahaja yang mengerjakan solat tarawih antaranya termasuklah mendapat kebaikan dunia dan akhirat serta ganjaran pahala seperti empat puluh tahun ibadah. Sesungguhnya ibadah membentuk akhlak manusia.

 

Tanyalah Ustaz Ramadan

(setiap hari, 7.00 pagi)

 

Penonton berpeluang untuk berinteraksi secara langsung bersama ustaz-ustaz dan para ulama berpengalaman dan bertauliah dalam bidang agama seperti Ustaz Ahmad Mustafa Mohd Sidin (Imam Besar Masjid Negeri Selangor), Ustaz Dr. Zahazan Mohamed, Ustaz Halim Din, Ustaz Roslan Mohamed dan ramai lagi.

 

Antara topik yang diperbincangkan adalah berkaitan dengan bulan Ramadan seperti Madrasah Ramadan, Bulan Barakah Yang Di Tunggu-Tunggu, Kelebihan Bulan Puasa, Perang Badar, Zakat, Persaudaraan Melalui Ramadan, Yang Muda Di Dekati Yang Tua Dikasihi dan banyak lagi.

 

Mencari Resipi Temurun 

(8 episod, Isnin & Selasa, 6.30 petang mulai 1 Ogos)

 

Mencari Resipi Temurun merupakan sebuah program majalah yang menampilkan resipi tradisi turun-temurun dari negeri Johor, Kedah, Pahang, Terengganu, Kelantan, Negeri Sembilan, Perak dan Melaka. Anis Nabilah Umaruddin selaku hos akan membawa penonton mempelajari resipi turun-temurun yang masih dikekalkan oleh sesetengah masyarakat di Malaysia.

 

Ketika menjelajah ke Kedah, Anis dan krew penerbitan berpeluang menikmati kuih pudak, dangai, peknga dan pulut ikan masin. Di Johor, mereka diperkenalkan dengan mee rebus tulang dan resipinya masih dikekalkan lagi dari zaman ke zaman, mee rebus istimewa, kuih kacau keledek, bubur lambuk istimewa, arissa dan bubur putik nangka.

 

Lebih menarik ketika mereka berada di Pekan, Pahang apabila Anis berpeluang mempelajari cara membuat ‘kuih jeneral mabuk’ dan murtabak mengkasar’ yang mempunyai keenakan yang tidak dapat digambarkan. Mencari Resipi Temurun ini diterajui oleh Ezzah Aziz Fawzy (penerbit eksekutif) dan Hartina Ayu Harun, (penerbit kanan).

 

Ini Kisahku

(8 episod, Rabu & Khamis, 6.30 petang mulai 3 Ogos)

 

Program menarik ini menyaksikan beberapa selebriti terkenal tanahair berkongsi pengalaman kehidupan mereka sebelum dan selepas bergelar artis dan juga perubahan besar yang berlaku di dalam diri mereka. Antara selebriti yang akan berkongsi kisah mereka adalah Catriona Ross, Sham Kamikaze dan Datuk Ramly M.S. Selain menceritakan pengalaman yang telah merubah kehidupan mereka kearah positif, mereka juga turut berkongsikan video dan gambar-gambar menarik mereka kepada semua penonton.

 

Jom Berbuka

(8 episod, Sabtu & Ahad, 7.00 malam, mulai 6 Ogos)

 

Tahun ini, sekali lagi Sharifah Shahirah dipilih untuk mengendalikan rancangan Jom Berbuka. Menariknya, tahun ini dia ditemani rakan-rakan selebritinya yang lain. Saksikan celoteh dan riuh-rendah Sharifah Shahirah mengintai persiapan berbuka rakan-rakannya yang bujang mahupun yang telah berumahtangga seperti Ashraf Muslim, Neelofa, Datuk Dr. Sheikh Muszaphar serta isteri, dan Dato’ Siti Nurhaliza bersama suami tersayang.

 

Adakah mereka akan masak sendiri menu istimewa mereka, berbuka diluar ataupun mungkin juga ke rumah saudara-mara dan keluarga untuk berbuka? Mari kita sama-sama mengintai persiapan mereka dan apakah makanan kesukaan mereka sewaktu berbuka menerusi Jom Berbuka yang diterbitkan oleh Nur Irjuana Mohd Ishar.

Google Ads





Cari



JOM JOIN!

Iklan | Tentang Kami | Hubungi Kami
© Gua.com.my 2012 - Hak cipta terpelihara
Sebahagian daripada Alt Media Sdn Berhad