AJL26 - Transformasi Fesyen Najwa Latif
Pendatang baru industri hiburan tanah air, Najwa Latif seringkali menerima kritikan pedas mengenai gaya dan penampilan beliau di sewaktu menghadiri majlis ataupun acara yang berkaitan mahupun ketika membuat persembahan. Namun begitu , penyanyi yang mula dikenali melalui laman sesawang Youtube ini yang juga merupakan finalis Anugerah Juara Lagu 26 tampil cukup menawan sewaktu malam kemuncak AJL 26 baru-baru ini.
Ramai yang suka akan gaya Najwa sewaktu mendendangkan lagu Cinta Muku Buku ciptaan beliau itu. Untuk pengetahuan pembaca GUA sekalian, baju Najwa itu adalah rekaan khas dari butik Mimpi Kita yang terletak di Bangsar. Mimpi Kita sememangnya menghasilkan rekaan yang sesuai dengan imej dan penampilan Najwa sebagai seorang penyanyi remaja bertudung.
Sungguhpun disesuaikan dengan lagu Cinta Muka Buku yang begitu santai dan melodi yang lebih dekat di hati golongan remaja, Mimpi Kita tetap menyelitkan unsur-unsur elegan ke dalam rekaan kali ini sekaligus menyerlahkan interpretasi kematangan muzik Najwa. Pemilihan rona jingga muda seakan peach menyerlahkan lagi penampilan Najwa di pentas AJL.
Tahniah kepada Najwa Latif atas persembahan yang cukup bersahaja serta penampilan yang boleh dikira membanggakan buat anak gadis seusia dengannya. Semoga Najwa akan lebih berjaya dalam karier beliau dan menghasilkan karya yang lebih baik lagi pada masa akan datang. GUA doakan yang terbaik buat Najwa!


