Etika Ketika Melalui Karpet Merah
Setiap tahun peminat akan berkumpul lebih awal kala tiba harinya Anugerah Juara Lagu (AJL), sama ada anda berada secara langsung di lokasi acara mahupun di depan kaca TV. Kehadiran awal ini bukan sahaja kerana teruja mahu menyaksikan barisan penyanyi pujaan berentap di pentas. Apa yang pasti, lintas langsung karpet merah paling dinanti-nantikan.
Acara itu saban tahun diadakan, telah menjadi satu budaya pada setiap majlis berprestij. Apabila sudah menjadi budaya, maka terbitlah beberapa etika yang perlu dipatuhi ketika melalui karpet merah. Ada sebahagian selebriti bijak melaksanakannya. Ada juga yang mengambil mudah tanpa menyedari kepentingan etika ini pada kerjaya seni mereka.
Sesetengah penonton sekadar menunggu kelibat artis mereka minati melalui karpet merah. Seronok melihat golongan selebriti ini bergaya. Pakai cantik-cantik lepas tu meraih perhatian jurugambar. Berkelip-kelip 'flash' kamera dihalakan.
Malam itu juga gambar-gambar jadi santapan blog-blog tersohor. Esoknya terpampang pula di dada akhbar-akhbar besar. Bulan akan datang keluarlah dalam majalah fesyen. Kala inilah peminat remaja mula memasang angan, suatu hari kelak aku mahu jadi artis. Glamor!
Memang kelihatan sangat mewah lagi glamor. Tetapi sebaliknya tidak semudah disangkakan kerana kita sekadar penonton yang memerhati. Pada saat menerima kad jemputan AJL, persediaan teliti perlu dibuat. Tema pakaian diberikan penganjur menjadi panduan, selebihnya terpulang pada kebijaksanaan tuan punya badan.
Bagi artis sudah punya nama besar beruntunglah. Berebut-rebut pereka fesyen mahu menawarkan pakaian mereka kerana jenama artis itu bakal menaikkan lagi nama pereka. Ada juga artis baru mendapat perhatian media kerana diberi kepercayaan menyarung pakaian pereka fesyen tersohor.
Ada di antara selebriti menempah, menyewa atau membeli gaun siap di rak butik. Jikalau mampu, sang selebriti pastinya memilih jenama tempatan dan antarabangsa tersohor. Banyaknya, artis kita memilih menyarung pereka fesyen tempatan sahaja.
Risiko seseorang selebriti pula - jika menerima pujian melangit, aduh bangganya; sebaliknya jika pakaian dikatakan paling buruk, berminggu-minggulah menjadi bahan. Bukan sekadar pakaian perlu dititikberatkan selebriti, etika ketika melalui karpet merah juga perlu diketahui.
Termasuklah bagaimana mahu memastikan gambar-gambar dirakam jurugambar dapat dipilih dengan mudah oleh wartawan atau penulis fesyen. Silap hari bulan satu pun gambar dicetak hasilnya sungguh memalukan. Antara etika perlu dipatuhi:
1. Ambil tahu sejarah karpet merah

Berapa ramai yang mengetahui bagaimana sejarah karpet merah bermula? Tidak salah sekiranya kita ambil tahu serba sedikit mengenainya. Segala-galanya bermula pada 18 Oktober 1922 apabila Sid Grauman membuka Egyption Theatre. Pada malam itu, ribuan peminat berbaris panjang menantikan kelibat selebriti pujaan mereka, Douglas Fairbanks, pelakon Robin Hood.
Budaya karpet merah bermula dari situ sehingga tertubuhnya The Red Carpet Foundation. Acara karpet merah ini kemudian menjadi tradisi pada setiap majlis anugerah, tayangan perdana atau majlis-majlis besar lain. Mungkin pengaruh karpet merah di Malaysia tidak sebesar di Hollywood tetapi kesannya tetap besar terhadap kerjaya setiap artis. Pemahaman mengenai sejarah karpet merah perlu agar selebriti tidak lagi memandang remeh tentangnya. Moga-moga selebriti lebih menghormati dan komited. Tidak lagi hadir tanpa mengikut tema dan mengenakan pakaian selekeh teramat.
2. Penampilan terhebat untuk publisiti
Tenyata, ‘red carpet is icing on the cake’. Setiap selebriti takkan lepaskan peluang muncul di karpet merah mendedahkan diri mereka kepada media. Kala inilah peluang mahu digelar ‘fashionista’ dengan menyarung pakaian pereka fesyen ternama dan barang kemas termahal. Jikalau mendapat perhatian orang ramai dan media terutamanya, ia adalah satu ganjaran dan publisiti buat si artis. Ketika inilah kita dapat melihat siapa yang menjadi perhatian umum, siapa lebih bergaya, siapa kurang tersohor dan siapa pula berjaya menarik perhatian?

Mencari gaya serasi dengan peribadi seseorang bukan perkara mudah dengan sekadar mencari pereka fesyen tersohor atau membeli pakaian jenama antarabangsa termahal. Mungkin tiba masanya artis mula menggunakan khidmat ‘stylist’ yang lebih arif mengenai suai padan pakaian keseluruhannya.
Jennifer Garner, Lindsay Lohan, Mischa Barton, Nicole Richie, Kiera Knightley, Cameron Diaz, Kate Hudson, Kate Beckinsale, Demi Moore, Liv Tyler, Eva Mendes, Anne Hathaway dan ramai lagi berkongsi khidmat ‘stylist’ Rachel Zoe membentuk imej mereka di karpet merah. Malah, imej ‘boho chic’ dibawa Nicole Richie dengan padanan gaun ‘loose-fitting’ bersama aksesori besar dan kaca mata bingkai adalah hasil kerja Rachel Zoe. Setelah itu, Nicole Richie tidak lagi dilabel artis berpakaian paling buruk di karpet merah, malah disanjung sebagai wanita paling bergaya.
3. Bijak mengatur masa
Tidak rugi sang selebriti muncul awal di permaidani merah. Peminat boleh awal, mengapa tidak mereka kerana inilah peluang artis untuk lebih lama bermain mata dengan lensa dan mencuri masa berbual-bual dengan wartawan. Khabarkan kepada penulis fesyen baju siapa dipakai. Berapa harga barang kemas? Siapa pula pasangan di sisi? Saat ini juga peluang untuk ditemu bual pengacara TV yang sedang membuat liputan. Namun, ‘big star’ selalunya hanya muncul saat-saat akhir, lebih kurang 10 minit sebelum acara bermula.
4. Kenali setiap wajah media

Kerjasama diberikan kepada media yang sedang bertugas. Terpulang kepada selebriti mahu memilih medium media mana mereka mahu utamakan - akhbar, majalah, web portal, blog, TV dan sebagainya. Lebih mudah jika hubungan baik telah wujud di antara selebriti dan media. Kalaupun tidak dapat mengecam pihak media, bermanis wajah tidak merugikan apa-apa. Tegur setiap individu dan bersalaman dengan mereka kerana mungkin salah seorang daripada mereka adalah orang terpenting. Tugas selebriti takkan berakhir di karpet merah sahaja tetapi berlanjutan hingga acara menutup tirai.
5. Belangkas di karpet merah

“I feel like I can’t breathe, but I feel glamorous.” Mungkin itu perasaan mereka-mereka yang melalui karpet merah dan menjadi perhatian. Tetapi ada juga penulis fesyen menahan nafas kerana kesukaran mencari foto terbaik selebriti. Oleh itu, melalui karpet merah bukan sekadar penampilan diri, etika di permaidani merah turut memainkan peranan penting. Berjalan berdua dengan pasangan sama ada suami atau isteri atau dipasang-pasangkan oleh penganjur tidak salah. Cuma beri laluan kepada diri sendiri dan rakan artis untuk bergaya secara solo di depan lensa. Ketika inilah selebriti yang bijak akan mencuri peluang memberi 'pose' terbaik.
6. Beraksi penuh gaya

Anda rasa siapa paling bergaya memberikan ‘pose’ cantik di depan kamera? Mahu menilainya, anda perlu lihat gambar siapa paling sempurna. “You just have to walk down knowing you’re hot. You have to smile sweet and look nice - and never close your eyes,” pesan Paris Hilton. Setiap selebriti pasti ada ‘signature pose’ mereka tersendiri. Ada yang melentur tubuh, bersilang kaki, bercekak pinggang dan sebagainya. Artis barat mengambil berat bagaimana penampilan mereka dilihat dalam foto. Gaya Victoria Beckham di karpet merah misalnya sentiasa memastikan kaki kiri ke depan dan melemparkan renungan serius tanpa senyuman. Kadang-kadang perlakuan rutin artis mampu menghasilkan satu ‘signature’ yang akan dikenang dan dibahaskan media dan umum. Gaya tanpa senyuman Victoria Beckham nyatanya terkenal dan itulah imej dibentuk dirinya.
7. ‘Smile Everyone!’

‘Any trip down the red carpet starts and ends with a beautiful smile’. Pamerkan senyuman paling manis di depan kamera dan wartawan. Berikan ‘pose’ menawan dan ubah gaya setiap saat. Pastikan anak mata kamu memandang setiap lensa agar memuaskan jurugambar. Agar kurang gambar buruk kamu disiarkan kelak. Senyuman adalah aksesori paling berharga kalau hendak dibandingkan dengan perbelanjaan satu tubuh badan.
8. Interaksi dengan kamera

Pakaian sudah cantik-cantik terhias aksesori menawan dan sepatu jenama mahal. Peminat pun bersorak riang melihat selebriti pujaan mereka. Kemudian sang selebriti berhenti untuk dirakam gambarnya. Sayang kalau dilepaskan peluang begitu sahaja. Ramai selebriti tidak menyedari apabila melalui permaidani merah, mereka perlu berhenti dan lebih mesra kamera. Perhatikan di mana jurugambar berada kerana jurugambar akan berada pada dua kedudukan berbeza kerana ruang karpet merah di Malaysia selalunya terhad.
Setidak-tidaknya belajar berinteraksi dengan semua lensa yang ada. Jangan pula muncul di karpet merah dengan wajah keliru dan tidak tentu arah. Andaikan kamera itu cinta pandang pertama yang perlu dipujuk dan dirayu. Tetapi ada beberapa pilihan lain juga. Penting bagi selebriti memastikan setiap jurugambar puas mendapat aksi istimewa. Jurugambar pun rajin-rajinlah menjerit nama selebriti. Pastikan artis beraksi sendirian walaupun dia tampil secara berpasangan. ‘Please, melt the cameras. From here foward, if you blinked you could miss a biggie’.
9. Fliers di tangan mencacatkan

Kita faham setiap acara terutama yang berprestij seperti AJL, akan ada penaja-penaja yang turun padang. Kesempatan yang ada digunakan untuk mengagihkan ‘flyers’ kepada tetamu termasuk selebriti. Ada beberapa insiden jurukamera merakam gambar dengan flyers ditangan. Sepatutnya artis perlu bijak menyorok ‘flyers’ di dalam sut bagi lelaki atau ‘clutch’ bagi wanita. Tidakpun menyerahkan ‘flyers’ kepada pembantu peribadi yang mengiringi.
10. Pengurus atau pembantu peribadi
Di barat, pembantu selebriti - ‘who walk the red carpet but generally go unnoticed by everyone except the stars themselves’. Mereka akan memastikan selebriti jagaan mereka sentiasa kelihatan serba sempurna. Sentiasa mengingatkan artis supaya tidak memegang barang-barang tidak diperlukan terutama ‘flyers’. Biarkan tangan artis jagaan hanya mengepit ‘clutch bag’. Mereka juga bertanggungjawab memastikan artis tiba tepat pada waktu. Kemudian berurusan dengan media selain perlu berpenampilan kemas kerana kemungkinan bertemu dengan panaja-penaja berpotensi di ‘after party’. Lainlah jika selebriti yang bergerak solo kerana mereka perlu mewakili diri sendiri.
Begitulah sedikit sebanyak etika selebriti saat mereka hendak melalui karpet merah. Memang gementar setiap kali berdepan dengan lensa. Ragu-ragu kerana takut penampilan diri dikritik pengamal fesyen. Percayalah, artis barat juga merasai perasaan sama. Malah, pelawak Ellen DeGeneres mengambil nasihat Paris Hilton untuk berdepan dengan lensa.
“Saat melangkah ke karpet merah kamu perlu merasakan diri sebagai puteri raja yang memakai ‘invisible crown’. Paling penting keyakinan. Jika mahu ‘pose’, ‘slenderise your hips dan berikan beberapi aksi mengikut apa pakaian kamu malam itu. Kamu hanya perlu berjalan penuh yakin kamu terhebat. Senyum manis setiap saat dan jangan tutup mata,” ujar Paris Hilton lagi. Jadi, sama-sama kita nantikan bagaimana pula ragam selebriti pujaan kita melalui karpet merah pada AJL ke-26 malam esok.


