Yang Cantik & Yang Jelik Di AJL
Seronok mengintai gaya selebriti kala mereka melalui karpet merah. Macam-macam fesyen dapat kita lihat - yang cantik, salah dan jelik. Seorang demi seorang melalui karpet merah dan pelbagai reaksi terpancar di wajah pemerhati.
Ada yang buat GUA tersenyum, ada yang buat GUA kagum sangat lantas jatuh cinta, ada yang buat GUA mengantuk, ada yang GUA tak perasan pun, dan ada yang GUA rasa seperti hendak terjojol biji mata.
Memang amat sukar bagi barisan selebriti ini membuat keputusan paling tepat, agar jam berikutnya nama mereka tersenarai paling atas dalam rekod media sebagai artis berpakaian terbaik. Paling dipuji, pendek kata.
Tetapi ada juga yang tak kisah dikatakan berpakaian paling jelek, asalkan gambar tetap keluar web portal, akhbar dan majalah. Paling ditakuti apabila nama dan gambar langsung tidak nampak bayang di mana-mana. Berikut beberapa gaya Anugerah Juara Lagu (AJL) yang ingin dikongsi dengan pembaca GUA.
Membaluti tubuh

Pada AJL25 tahun lalu, Intan Ladyana menyarung Wanpa. Tasha Shilla pula bergaya dengan rekaan Fiza Zulkarnain pada malam sama. Gaun teknik ‘draped fabric’ ini juga digayakan Marsha Londoh rekaan Syomir Izwa di AIM18. Stephanie Pratt tiba di acara premiere filem 'Bruno' pada 2009 dalam gaun ‘aqua draped’.
Persamaan mereka adalah menggayakan gaun ‘draped fabric’. Malah gaya ini banyak kelihatan di pentas peragaan pereka tersohor seperti Donna Karan New York, J Mendel, Christian Siriano dan Vivienne Westwood. Mereka semua menggunakan teknik ini untuk mencipta ilusi bentuk tubuh menawan.

Teknik ‘draped’ banyak membantu penampilan diri, menyorok mana-mana bahagian tubuh yang menjadi masalah wanita. Juga mencipta ilusi bentuk tubuh lebih berisi cantik pada bahagian dada atau pinggul bagi wanita kurus.
Jika kena dengan fabrik seperti sutera, gaun akan tampak lebih mewah dan mencipta gaya ‘sexy Grecian’. Jikalau mahukan figura ‘hourglass’, pilihlah teknik ‘draped’ pada bahagian pinggul seperti Marsha. ‘Draped fabric’ dari bahu ke pinggul pula mampu menutup bahagian perut.
Personaliti bertenaga

Terserlah sekali personaliti bertenaga dari warna-warna terang. Warna sebegini ditampilkan dari pakaian sememangnya menambah keceriaan dalam kehidupan. Seandainya mahu kembali pada warna asas seperti hitam atau kelabu, tambah aksesori seperti beg, aksesori, skaf, tali pinggang atau gincu warna menyerlah.

Si cantik manis Liyana Jasmay tampil memakai ‘skin-tight bandage dress’, rekaan pereka tersohor Rizman Ruzaini di AJL24. Kalau di barat, gaya ini sering dilihat menjadi pilihan selebriti. Kebanyakannya rekaan Herve Leger by Maz Azria.
Gaya begini menjadi pilihan Victoria Beckham, Lindsay Lohan, Joss Stone, Hayden Panettiere dan Cheryl Cole. Gaun pendek jalur melintang multi-warna ini sangat chic dan segar untuk dipakai pada acara seperti AJL.
Pilihan kekok dipandang

Sesetengah selebriti barat sengaja membina imej buruk agar mendapat perhatian. Biar diperkatakan sebagai jelik dari langsung tidak disebut. Maklum sajalah untuk berlawan dengan nama besar seperti Angelina Jolie, Jennifer Lopez, Victoria Beckham, Beyonce dan banyak lagi. Mariah Carey pun belum tentu mendapat pujian pada setiap penampilannya.

Melihat penampilan Betty Benafe di AJL24 dan Julia Ziegler di AJL22, GUA lantas teringat penampilan Helena Bonham Carter setiap kali dia muncul di karpet merah. Penampilan Betty Benafe menjadi bahan bualan dan dikatakan paling buruk pada malam itu.
‘Wacky’ adalah perkataan pertama pasti terlintas di fikiran. Ternyata Helena sentiasa diperkatakan terutama padanan sepatu berlainan warna pada karpet merah Golden Globe Award tahun lepas. Begitupun Helena tetap digemari kerana lakonan hebatnya.
Gaya santai

Acara karpet merah bukan lagi terhad bagi majlis anugerah besar. Sebab itu selebriti perlu bijak memilih agar penampilan tidak dilihat terlalu santai atau berlebih-lebih.
Penampilan pasangan Ammar dan Puteri Sarah di AJL24 pada 2009 bersahaja. Begitu juga pasangan pelakon Matt Prokop dan Sarah Hyland, tampil dengan gaya serupa di American Idol akhir musim 10 pada 2011.

Mungkin remaja seperti mereka sekadar mahu menghadiri acara untuk menonton pertandingan nyanyian. Begitupun mereka sangat ‘cute’ terutama dua Sarah yang bukan sekadar berkongsi nama tetapi mempunyai cita rasa hampir serupa.
Banggalah dengan tubuh dimiliki. Tubuh setiap insan dianugerahkan secantik-cantiknya dengan cara tersendiri. Tidak mengira berapa saiz anda - S, M, L, XL atau XXL - cita rasa berpakaian adalah kunci bagi segala-galanya.
Saranan GUA, tampilkan keistimewaan bentuk tubuh anda dengan potongan pakaian yang sesuai. Yakin diri juga penting saat melangkah berdepan dengan orang ramai. Selain gelang, sepatu dan tas tangan mewah, senyuman juga salah satu aksesori paling bernilai.


