Tawan Hati Penulis Fesyen di AJL
Kehadiran mereka mengundang perasaan gerun di jiwa selebriti. Hati bertanya apakah penampilan malam ini disukai atau dikeji mereka kelak. Lainlah bagi artis yang yakin penampilan mereka paling hebat. Kritikan ramai tak berkesan langsung di jiwa.
Sebatang pena dan nota kecil sedia ada di dalam tas tangan - buat catatan, artis apa pakai baju siapa, kasut siapa, aksesori apa, solekan dan dandanan siapa malam ini? Hmm, mata pula memerhati dari hujung rambut hingga hujung kaki. Hati mula berkata-kata, sesekali mereka berbisik sesama mereka.
Mereka yang GUA maksudkan itu adalah barisan media dari majalah fesyen tempatan. Mereka itu dari majalah ‘glossy’ Eh!, Cosmopolitan, InTrend dan banyak lagi. Ada juga wartawan hiburan diberi tugasan sama iaitu membuat liputan fesyen AJL bagi majalah hiburan dan akhbar masing-masing.
Tugas mereka nampak mudah tetapi agak sukar mahu menentukan penampilan selebriti malam itu, sama ada paling baik, biasa-biasa, sudah pernah lihat atau terburuk. Beberapa perkara penting perlu ditimbang-tara sebelum membuat keputusan.
Seharusnya target seseorang selebriti adalah mahu gambar karpet merah mereka tampil di dalam majalah ‘glossy’. Malah, lebih membanggakan jikalau dipuji melangit oleh penulis fesyen dan duduk sebaris dengan gambar selebriti-selebriti ‘A-list’ lain.
Bagaimanakah caranya menawah hati penulis fesyen terutama bagi yang baru di dalam industri hiburan? GUA menemubual Penulis Senior majalah Eh! yang sebelum ini berpengalaman sebagai penata gaya bebas atau ‘stylist’ bagi beberapa organisasi tempatan dan antarabangsa.
Nisa’ Halid, 28, memulakan kerjaya di majalah InTrend (2007 - 2009) sebelum beralih angin ke majalah antarabangsa Cosmopolitan (2009 - 2010) dan kemudian bekerjaya bebas menulis skrip dan menata gaya. Awal tahun lepas, Nisa’ diberi kepercayaan bertugas di majalah Eh! sehingga kini sebagai Penulis Senior.

Nisa berkongsi pengalamannya dalam tugasan menata gaya selebriti dan juga sebagai penulis senior yang terlibat sama dalam menentukan penampilan karpet merah paling baik dan buruk di majalah.
Apakah sepatutnya digayakan selebriti menjelang acara karpet merah?
Ke mana sahaja mahu hadir, walau ke majlis koktel hingga ke majlis berprestij, gayanya cuma satu - yang paling selesa. Pabila selesa, kita gembira, bebas dan yakin dengan penampilan diri. Pada saya, jenama bukan penanda kejayaan berpakaian. Anda perlu bijak dalam memilih pakaian dan yang pasti perlu punya cita rasa tersendiri. Jangan ikutkan gaya pereka atau beraksesori sarat. Cukup untuk kamu tampak anggun dengan satu padanan lengkap. Lengkap maksud saya, satu busana, pilihan aksesori bersesuaian, sepatu tinggi yang bakal menarik lensa hanya kepadamu dan keyakinan tinggi. Nah, kamu sudah tampak lengkap sekelip mata.
Ramalan Nisa’ mengenai fesyen AJL 2012?
Cuma apa yang boleh saya katakan, elak warna pudar dan kusam, pilih rona terang ceria yang dapat menaikkan seri pada penampilan kamu untuk majlis seumpama ini.
Pereka fesyen saranan Nisa’ untuk jadi pilihan?
Setiap pereka layak diberi penghormatan. Mereka mempunyai idea dan tahap kreativiti sukar ditelah. Kepada anda yang sukar mempunyai pereka tetap, ‘just stick to one’. Mereka dapat menghasilkan yang terbaik juga memahami kesukaan kamu. Jika mahukan sesuatu yang lebih ‘daring’ dan mencabar, cuba pereka lain pula. Inilah masanya berubah angin, bukan? Manalah tahu pereka fesyen yang baru lebih arif tentang potongan tubuh dan kesukaanmu berbanding yang lama?
Apa perlu dilakukan selebriti untuk tampil cantik di mata polis fesyen?
Pada saya, pabila kita digelar selebriti kita perlu lebih berhati-hati. Jangan salahkan penulis fesyen majalah, ‘bloggers’ juga peminat fesyen jika dikritik. Beri penekanan pada isu busana dipakai. Perhatikan potongan, perincian dan motif yang kena pada tubuh anda. Jika salah pilih, anda boleh kelihatan seperti badut!
Trend apa patut ada dan patut ditinggalkan di karpet merah?
Koleksi Musim Panas/Luruh 2012 menghujani setiap butik pakaian. Jika mahu yang lebih selamat dan tidak sarat, dapatkan padanan ke majlis AJL dibutik sahaja. Jika pereka mahu menyarankan kamu busana sponsor, pastikan kamu punya cita rasa! Buat rujukan pada majalah fesyen juga laman web jenama-jenama terkemuka antarabangsa. Ikuti trend fesyen juga ‘runway’ terkini dan kumpul informasi secara kolektif agar anda tampil lebih bergaya. Pada saya gandingan gaun polos juga rantai dempak punya magisnya tersendiri. Tidak perlu bercetak, beropol besar dan ketat. Jangan seksa diri!
Apakah scenario karpet merah pada pandangan mata Nisa’?
Senario karpet merah kini makin maju. Walaupun ada segelintir selebriti yang masih lagi tidak 'faham' akan bidang mereka ceburi ini namun ada juga yang sudah maju ke hadapan. Pendapat saya, Liyana Jasmay, Fazura, Neelofa merupakan muka lama dan baru yang mengekalkan gaya anggun ke karpet merah. Pujian harus diberi kepada mereka dan pereka busana. Pasti kerjasama erat dan komunikasi menghasilkan busana-busana terbaik ini. Tahniah!
Bagaimana pula seorang penulis fesyen memilih senarai pakaian terbaik dan terburuk di majalah?
Pemilihan dibuat secara keseluruhan penampilan. Pemakai itu sendiri kena pandai membawa gaya atau ‘carry the look’. Kalau pakai gaun cantik tetapi pesona solekan, dandanan rambut dan pemilihan kasut tak kena gaya, penampilan pasti tampak jelik - tidak cantik keseluruhannya. Terutama sekali pabila perincian dah sarat, jangan sekali-kali ditambah aksesori. Silap hari bulan penampilan anda persis seorang badut. Kalaupun gaun pilihan anda cantik tetap akan disenaraikan sebagai pakaian terburuk di majalah. Busana polos dengan potongan ‘classy’ itu selalu jadi pilihan saya.


