Tips Glamor Di Karpet Merah AJL
Menyentuh tema AJL pada tahun ini iaitu air, beberapa elemen boleh dimasukkan seperti aqua, coral dan combo. Sekiranya air dimaksudkan terarah pada pantai - sirna mataharinya, biru laut dan butir pasir - semestinya kuning, biru dan coklat atau putih jadi pilihan.
Mata pasti tertumpu pada kombinasi rona coral dan aqua yang begitu ‘striking’, ‘unlikely’ dan ‘refreshing’ warnanya. Jika diperhalusi, anda mampu menggayakan tema ini seiring dengan trend 2012 yang telah dikenalpasti pengamal fesyen. Bagaimana tercetusnya sesebuah trend setiap kali menjelang tahun baru?
Sepanjang berlangsungnya acara KL Fashion Week, mIfa, Stylo, MASiF dan banyak lagi yang menampilkan rekaan pereka-pereka fesyen tempatan, kita telah didedahkan dengan trend 2012. Lebih jelas lagi apabila melihat pertunjukan fesyen antarabangsa terutama yang berpusat di Paris hinggalah New York.
Setelah dikumpul keseluruhannya, trend 2012 adalah lebih ringkas, ringan, praktikal dan berwarna-warni. Lebih ketara dilihat menerusi teknik potongan, motif dan bentuk pakaian dihasilkan.
Dapat dilihat trend yang kembali popular adalah dari sekitar era 20-an sehingga 60-an. Kebanyakan pereka fesyen mengambil inspirasi dari era itu. Sesekali ada juga rekaan isnpirasi era 70-an mewarnai beberapa pentas peragaan. Tetapi era 60-an paling menyerlah terutama dari koleksi Burberry di Minggu Fesyen Milan. Begitu juga dengan Miuccia Prada.
Burberry menggunakan ‘blocking color’ dan siluet yang banyak terdapat sekitar era 60-an di London. Manakala Miuccia Prada, bermodalkan motif tunik berlisu dengan perincian paten grafik. Namun, hitam dan putih adalah dua warna tak telan dek zaman masih kekal setiap musim.
Bagi pemakaian di karpet merah, segala-galanya adalah berkenaan glamor dan sofistikated. Pembawaan diri sangat penting. Penampilan tampak mahal seandainya penampilan dibawa dengan betul. Salah memakai satu aksesori atau penggayaan, keseluruhannya pasti tampak cacat.
Berikut adalah beberapa tips jika anda mahu tampil lebih bergaya, tak kira di acara biasa atau karpet merah. Asasnya sama sahaja tetapi kebijaksanaan memilih dan cita rasa sangat penting. Pasti di antaranya sesuai dibawa di karpet merah AJL dengan tema air.

1. Warna pilihan jadi penentu pada keseluruhan penampilan. ‘Any color can be a red carpet hit!’ Tetapi pastikan rona pilihan anda berkesan dan sesuai dengan warna kulit. Ingat! Pakaian disarung adalah melambangkan cita rasa anda.

2. Bawa teman jika anda mahu membeli-belah kerana mata mereka dapat membantu dalam pemilihan pakaian yang betul. Sebab itu kehadiran ‘stylist’ sangat penting agar terjamin penampilan anda. Mereka lebih arif mahu menyuaipadan gaun apa sesuai dengan aksesori apa dan sepatu apa. Mereka juga menentukan solekan apa dan dandanan apa paling menyerlah.

3. Fabrik memainkan peranan juga di karpet merah. Sutera bermaterial bersinar paling cantik dipakai terutama apabila kamera dihadapkan kepada anda. Bagi selebriti bertubuh gempal pun perlu memilih fabrik tidak memperlihatkan anda lebih tembam. Jenama Flow mungkin sesuai bagi anda bertubuh gempal tetapi mahu kekal bergaya.

4. Potongan kalau boleh tidak menjolok mata. Tetapi ada juga yang berani memakai gaun ‘strapless’. Pakaian di dalam juga mampu menyerlahkan apa anda sarung di luar terutama jika mahu tampil dengan gaun ‘strapless’. Panjang atau pendek gaun itu bergantung pada keindahan kaki anda. Sekali lagi keberanian perlu ada kerana semestinya perihal pakaian anda akan menjadi isu selepas melalui karpet merah.

5. Hanya kerana salah memilih sepatu, seluruh penampilan anda jadi serba tak kena. Begitulah pentingnya menyarung sepatu paling selesa dari jenama biasa anda pakai. Tak kiralah kamu memilih 'cap toe pumps', 'mesh sandals' atau 'double platforms', asalkan tidak sakit pada sepanjang acara.

6. Beg ‘clutch’ jadi kewajipan dipegang si gadis pabila memakai gaun malam atau kala menghadiri acara koktel. Kuasa ‘clutch’ di karpet merah jangan dipandang remeh. Dari yang ‘wristlets’, ‘chain handles’ atau ‘foldover clutch’, pastikan ianya menepati dengan tema pakaian.

7. Lelaki juga mahu tampil kacak sendirian atau berdampingan dengan pasangan di karpet merah. Jaket atau sut lelaki masa kini semakin banyak pilihan. Ada yang hadir lebih kasual tetapi biarlah masih kemas. Pastikan anda lebih kreatif memilih gaya penampilan agar setanding dengan wanita di sekeliling.


